GEORGE TOWN: Seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat nasi kandar di sini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan bersubahat dalam mengemukakan dokumen palsu bagi Program Penggajian dan Penempatan Semula pekerja warga asing.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi selepas dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini.
Sumber berkata, suspek berusia 43 tahun itu dipercayai telah bersubahat dengan seorang pegawai Jabatan Imigresen Pulau Pinang dalam mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu pada Disember tahun lalu.
“Dokumen tersebut adalah berkaitan Program Penggajian dan Penempatan Semula atas nama seorang individu yang merupakan pekerja di syarikat swasta terbabit kepada pihak JIM bagi proses penghantaran pulang pekerja asing.
“Siasatan dijalankan di bawah kesalahan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya di sini, hari ini.
Tambah sumber itu, suspek kedua berusia 32 tahun yang kini ditahan di lokap SPRM Pulau Pinang akan dilepaskan dengan jaminan selepas selesai memberi keterangan dalam tempoh 24 jam.
Tangkapan ke atas kedua-dua suspek dilakukan di lokasi berasingan di sekitar negeri ini semalam. – UTUSAN