Adam Radlan didakwa lagi atas pertuduhan pengubahan wang

Adam Radlan didakwa lagi atas pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM500,000

ADAM Radlan Adam Muhammad hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi pertuduhan pengubahan wang haram. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Bahagian Segambut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Adam Radlan Adam Muhammad didakwa lagi di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM500,000.

Bagaimanapun Adam Radlan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Adam Radlan didakwa menggunakan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM500,000 dari akaun miliknya di CIMB Berhad, Cawangan Bukit Tunku di sini antara 2 Disember 2021 dan 22 Februari 2022.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM420,000 dengan seorang penjamin bagi kes predikat (rasuah) sebelum ini.

“Mahkamah ketika itu menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

“Kami juga mohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen lain (Hakim Suzana Hussin) untuk dibicarakan bersama dengan pertuduhan predikat,” katanya.

Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam, yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan berkenaan.

Rozina kemudian membenarkan permohonan jaminan dan syarat tambahan serta memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen berkenaan dan menetapkan 31 Oktober ini bagi pengurusan kes.

Sebelum ini, Suzana menetapkan tiga pertuduhan rasuah berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) Adam Radlan dibicarakan selama 15 hari di Mahkamah Sesyen di sini bermula Mei tahun depan.

Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.

Mahkamah turut menetapkan 31 Oktober ini bagi perkembangan status permohonan Adam Radlan agar ketiga-tiga pertuduhan itu dibicarakan secara bersama dengan dua lagi pertuduhan yang dikemukakan di mahkamah berasingan.

Dalam kes rasuah itu, pihak pendakwaan memaklumkan seramai 20 saksi akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Adam Radlan didakwa atas tiga pertuduhan iaitu dua menerima rasuah RM2.1 juta dan RM500,000 serta satu tuduhan meminta rasuah wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN