PETALING JAYA: Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) mengumpul dana sebanyak RM23 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia untuk membantu penduduk Palestin.
Kementerian Luar Negeri memaklumkan, jumlah yang diterima setakat hari ini itu termasuk dana yang diterima daripada syarikat korporat yang menjanjikan sumbangan ketika majlis penyampaian sumbangan Tabung AAKRP pada 19 Oktober lalu di Sri Perdana.
Katanya, penghantaran barangan bantuan kemanusiaan ke Gaza perlu mendapat kelulusan kerajaan Mesir terlebih dahulu sebelum diurus Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Mesir.
PBSM Mesir selaku agensi pelaksana tunggal bagi menguruskan penghantaran melalui pintu masuk sempadan Rafah-Gaza.
Dalam perkembangan berkaitan katanya, sebanyak 50 tan barangan utama bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza dengan nilai RM7 juta telah siap sedia untuk dihantar ke Gaza melalui Mesir.
“Barangan itu dikumpul melalui kempen Op Ihsan oleh lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan pada 21 dan 22 Oktober lalu.
“Penghantaran pertama barangan kemanusiaan ini dijadual dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al Arish melalui penerbangan kargo sewaan khas pada 3 November ini atas pembiayaan Kerajaan Malaysia,” katanya.
Menurut Kementerian Luar Negeri, untuk penghantaran seterusnya adalah melalui laut dan akan digerak sebaik sahaja mendapat butiran terkini dari lapangan oleh Pasukan Op Ihsan ke bandar Ismaliyah, Mesir dalam masa terdekat.
Selain itu, berikutan jumlah sumbangan yang tinggi masuk ke dalam akaun AAKRP, pengeluaran resit rasmi sumbangan melalui AAKRP ini akan mengambil sedikit masa. – UTUSAN