KUALA NERUS: Sebuah pondok bayaran parkir kenderaan di pusat niaga Dataran Rimba dekat sini hangus terbakar disyaki akibat perbuatan khianat, pagi tadi.
Seorang pekerja kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Hani, 28, berkata, kejadian itu disedari ketika mahu memulakan perniagaan pada pukul 9 pagi.
Menurutnya, pondok yang dikatakan milik syarikat swasta itu sedang dalam pembinaan sejak Jumaat lalu dan dalam keadaan baik sepanjang hari sehingga malam tadi.
“Ketika menutup premis kira-kira pukul 9.30 malam semalam, saya dapati pondok bayaran berkenaan masih kukuh berdiri namun terkejut melihat ianya rentung pagi tadi.
“Sebelum ini tapak parkir di lot perniagaan komersial ini pernah dikenakan caj oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) selama sebulan sebelum ianya dihentikan.
“Sya tidak pasti motif dan punca kejadian memandangkan tiada aktiviti mencurigakan di kawasan ini dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Salah seorang penduduk dikenali sebagai Fikri, 33, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas ianya tular di media sosial sejak pagi ini.
Lelaki itu mendakwa, isu bayaran parkir di kawasan itu pernah menjadi perdebatan disebabkan ianya tidak pernah dilaksanakan sebelum ini untuk tempoh masa yang lama.
“Sebelum ini pengguna dikenakan caj RM1 sejam namun ianya tidak lama mungkin disebabkan ramai pengguna merungut sehingga menjejaskan kedatangan ke premis di sini,” ujarnya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, ketika dihubungi berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian berkenaan. – UTUSAN