761 petugas Jabatan Kesihatan Terengganu bersiap siaga hadapi banjir  - Utusan Malaysia

761 petugas Jabatan Kesihatan Terengganu bersiap siaga hadapi banjir 

KASEMANI Embong (dua dari kanan) membuat gimik melakukan semburan aerosol pada Majlis Gotong-Royong Mega Perangi Aedes dan ‘One Hour Clean Up’ Peringkat Negeri Terengganu, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seramai 761 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlaku bencana banjir di negeri ini pada Monsun Timur Laut, tahun ini. 

Pengarahnya, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 160 kumpulan akan bergerak ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, sebanyak 80 kumpulan daripada 761 petugas itu akan dibentuk bagi menjalankan tugas seperti memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rujukan.

“Bakinya, seramai 361 petugas yang juga melibatkan 80 kumpulan lain pula akan terlibat dengan aktiviti dan program berkaitan pencegahan penyakit ketika banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Gotong-Royong Mega Perangi Aedes dan ‘One Hour Clean Up’ Peringkat Negeri Terengganu, dekat sini, hari ini. 

Dr. Kasemani berkata, mesyuarat dan taklimat di peringkat negeri dan daerah bagi melihat keperluan bagi melihat persiapan banjir juga telah diadakan. 

“Jika berlaku bencana banjir, kita akan melihat jumlah bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS dan kita akan tengok keperluan sama ada petugas kita perlu ditempatkan secara kekal atau secara lawatan harian di PPS tersebut,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, Terengganu mencatatkan peningkatan kes denggi lebih tinggi iaitu sebanyak 234 kes dengan dua kematian direkodkan bermula awal Januari sehingga 14 Oktober lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

“Pada tahun lalu, sebanyak 186 kes direkodkan bagi tempoh sama dengan sifar kematian,” katanya. 

Beliau berkata, bagaimanapun peningkatan itu tidak terlalu ketara dan usaha semua pihak termasuk orang awam untuk sentiasa mengadakan pembersihan kawasan rumah bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya