CYBERJAYA: Sebanyak tujuh empangan berisiko tinggi mendatangkan masalah sumber air kepada Loji Rawatan Air (LRA) dan kawasan sekitar jika berlaku kegagalan fungsi berikutan faktor cuaca berdasarkan Laporan Pemantauan Paras Empangan Bekalan Air 2022.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Anthony Santiago berkata, kesemua empangan itu melibatkan dua empangan di Kedah iaitu Pedu dan Muda; tiga di Melaka melibatkan Durian Tunggal, Asahan dan Jus; manakala masing-masing satu di Pulau Pinang dan Johor iaitu di Mengkuang serta Linggiu.
Kata beliau, penilaian risiko dilakukan di 55 empangan bekalan air utama dengan penilaian yang dijalankan berdasarkan tiga faktor utama iaitu melibatkan prestasi fizikal empangan, rekod paras simpanan empangan dan jumlah LRA di kawasan empangan.
“Untuk tujuh empangan yang dikenal pasti risikonya adalah terhadap isu pembekalan air, bukan empangan itu sendiri berbahaya.
“Tetapi ia boleh bahayakan pembekalan air sebab di sepanjang sungai yang berhubung dengan empangan itu, terdapat beberapa LRA yang mendapatkan sumber air dari empangan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Santiago berkata, beberapa cadangan dikemukakan dalam mengurangkan risiko semua empangan itu antaranya kerajaan negeri dicadangkan membangunkan ‘Off River Storage’ (TAPS) untuk dijadikan kolam takungan serta simpanan bekalan air.
Katanya, pendekatan pembangunan TAPS dilihat sebagai alternatif dalam membantu meningkatkan keupayaan sumber air.
“Pada masa ini TAPS pelbagai fungsi juga telah dicadangkan contohnya TAPS Rasau bagi fungsi bekalan air serta tebatan banjir,” katanya.
Beliau berkata, sejak tahun 2008 Selangor mengguna pakai kaedah TAPS di sebuah lombong di Bestari Jaya bagi menerima pelepasan air di empangan Sungai Tinggi serta Sungai Selangor.
“Kita mesti faham bukan sungai sahaja penting tetapi empangan juga penting dalam memastikan kelangsungan sumber bekalan air,” jelasnya.
Santiago berkata, sebanyak 16 daripada 55 empangan bekalan air di seluruh negara ketika ini berusia lebih 50 tahun.
“Bagi empangan tersebut kajian semula reka bentuk dan keselamatan serta kajian terhadap simpanan aktif dan simpanan mati perlu dijalankan kerana maklumat reka bentuk asal telah mengambil perubahan yang ketara,” katanya. – UTUSAN