PUTRAJAYA : Seramai 585 warga pendidik daripada pelbagai bidang pengajian menerima pengiktirafan Anugerah Pendidik Paling Berpengaruh Malaysia 2023 (MIE) daripada Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN).
Menurut Pengerusi MIE, Tiffany Tan Tian Yee, pengiktirafan yang berlangsung buat kali kelima itu dianjurkan bagi menghargai jasa para guru di negara ini yang berinisiatif memberikan contoh dan pengajaran terbaik buat para pelajar dan masyarakat.
Tifanny berkata, ia juga sejajar dengan penubuhan MIE yang bertujuan untuk menghargai individu cemerlang dalam bidang pendidikan dan yang telah mencapai kejayaan luar biasa.
“Ini merupakan kali kelima MIE diadakan dan untuk penerima anugerah 2022/2023, sebuah buku biografi semua pendidik yang dinominasi berjudul ‘Biografi Pendidik Berpengaruh Malaysia 2022/2023 akan dikeluarkan pada akhir tahun.
“Dengan inisiatif ini, kami harap dapat memperkenalkan pendidik cemerlang ini dalam kategori masing-masing kepada masyarakat,” katanya.
Selain itu, kata Tiffany, golongan pendidik bukan sahaja sekadar mencurahkan ilmu, tetapi mendorong dan memberi inspirasi kepada pelajar untuk merancang laluan kerjaya serta berkongsi cabaran sebenar dunia pekerjaan.
Katanya, golongan pendidik atau mentor ini turut memainkan peranan yang penting sebagai panduan dalam membentuk laluan kerjaya pelajar.
“Keperihatian guru bukan terhenti setakat pada pembangunan kerjaya namun turut meliputi kesihatan mental, kepuasan kerjaya dan sokongan emosi pelajar,”katanya.
Menekankan MIE bukan sekadar mengiktiraf pendidik berpengalaman, jelasnya, mereka yang baru menceburkan diri dalam dunia pendidikan juga berpeluang menjadi salah seorang penerima anugerah.
“Kami tidak mengehadkan penyertaan kepada mereka yang berpengalaman sahaja, sebaliknya pendidik yang baru memulakan kerjaya juga berpeluang menyertai kami.
“MIE adalah platform untuk semua golongan pendidik untuk ketengahkan sumbangan mereka kepada masyarakat. Semua pendidik termasuk guru silat, kebudayaan, pusat Bahasa dan sebagainya dijemput untuk menyertai MIE,”katanya.
Terdahulu, majlis Anugerah Pendidik Paling Berpengaruh Malaysia 2023 (MIE) yang berlangsung di Putrajaya Marriot Hotel ini turut dihadiri Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan Malaysia, Heizrul Ali dan Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara, Datuk Paduka Dr Kevy KY Yeo.
Dalam pada itu, menurut Tiffany, MIE juga merancang untuk menghasilkan sebuah buku bagi tujuan menghargai jasa dan pengorbanan para pendidik.
“Kami bakal mengeluarkan sebuah buku biografi yang menghimpunkan penerima anugerah ini dan jasa-jasa mereka.
“Buku biografi ini akan diberikan kepada semua penerima anugerah tahun hadapan. Ini juga merupakan hasrat asal majlis penghargaan Anugerah Pendidik Paling Berpengaruh Malaysia yang dianjurkan kerana karier pendidikan melambangkan pemikulan tanggungjawab yang berat dan misi yang mulia,”katanya.