KUALA SELANGOR: Statistik Jabatan Insolvensi merekodkan sebanyak 5,695 kes muflis sepanjang tahun lalu termasuk 419 individu berusia 25 hingga 34 tahun yang majoritinya berkerjaya.
Ini kerana, 46.8 peratus penyumbang kepada angka tersebut adalah pinjaman peribadi yang menjadi faktor terbesar berbanding pinjaman perniagaan, perumahan, sewa beli dan kad kredit.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sehingga Ogos lalu, seramai sembilan individu di bawah umur 25 tahun mengalami masalah kebankrapan.
“Jika tiada intervensi seperti mengadakan kursus literasi kewangan, lebih ramai belia dibimbangi terjebak dengan pinjaman peribadi sekaligus turut membebankan kerajaan.
“Kursus literasi kewangan ini penting bagi membantu mereka menyedari cara betul untuk berbelanja secara berhemah. Justeru, Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (iLEAD) akan meneruskan siri jelajah mereka menerusi Program Sekolah Rukun Negara,” katanya ketika ditemui selepas Konvensyen Literasi Kewangan Belia Peringkat Kebangsaan 2023 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, hari ini.
Jelas beliau, program tersebut merupakan kelas demokrasi yang diwujudkan khas pada tahun ini yang diselaraskan iLEAD bermula tahun ini.
“Sehingga kini, seramai 60, 000 golongan belia telah mengikuti kelas demokrasi dan ini adalah satu program di bawah Rakan Muda,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kementeriannya mahu memastikan belia dapat menggunakan hak mengundi selain mengenali perbezaan di antara Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Mereka juga diberi pendedahan bagaimana harus memilih wakil rakyat dan bidang kuasa masing-masing.
“Saya percaya dengan adanya kelas pencegahan intervensi seumpama itu, belia mempunyai kemahiran lebih banyak dan dapat membantu mereka membuat keputusan dalam aktiviti harian,” jelasnya. – UTUSAN