KAJANG: Sebanyak 75 unit komputer riba diterima oleh murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kajang dalam Majlis Pelancaran Program Bantuan Komputer Riba (Diperbaharui) di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Mitra, Datuk R. Ramanan.
Ramanan berkata, bantuan komputer riba kepada SJKT yang terdiri daripada sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan adalah salah satu usaha Mitra untuk memberi sokongan berterusan dalam meningkatkan keupayaan murid dalam membangun dan meneroka Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE).
“Sebanyak 525 buah SJKT akan menerima 6,000 komputer riba secara berperingkat dalam tempoh tiga bulan bermula hari ini dengan spesifikasi yang dipersetujui mengikut nisbah pelajar,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.
Turut hadir dalam majlis pelancaran adalah Ketua Pengarah Mitra, Raveendran Nair Kesavan Nair dan Pengarah Negara Google for Education, Raja Azmi Adam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 525 SJKT di seluruh negara bakal menerima bantuan 6,000 unit komputer riba hasil kerjasama Mitra dan Google Malaysia.
Hasil kerjasama dua pihak yang dianggarkan sebanyak RM3 juta itu adalah bagi memberikan akses lebih luas kepada murid India dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
Jelas beliau, komputer riba bernilai RM500 tersebut terdiri dari pelbagai jenama dan pre-loaded dengan chrome flex selain diberi jaminan selama setahun sekiranya terdapat sebarang masalah teknikal yang akan diselesaikan oleh pihak pembekal, Google for Education.
Penerima komputer riba yang paling tinggi adalah SJKT Taman Tun Aminah, Johor sebanyak 120 buah komputer riba, manakala penerima yang paling rendah adalah sebanyak dua unit komputer riba iaitu di Kelantan dan Perlis.
Secara keseluruhannya, SJKT di negeri Selangor akan menerima 1998 unit komputer riba.
Mitra berharap bantuan tersebut akan diutilisasikan secara maksima untuk melatih kanak-kanak menjadi mahir dalam bidang ICT. – UTUSAN