4,975 lokasi di 79 zon dikenal pasti 'hotspot' banjir - Utusan Malaysia

4,975 lokasi di 79 zon dikenal pasti ‘hotspot’ banjir

NOR HISHAM Mohammad (tengah) selepas merasmikan majlis penutupan konvensyen pasukan bomba sukarela Zon Utara Tahun 2023, di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti sebanyak 4,975 lokasi di 79 zon yang menjadi ‘hotspot’ banjir di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Operasinya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, lokasi-lokasi hotspot berkenaan dikenal pasti berdasarkan data-data kejadian banjir yang berlaku lima tahun sebelum ini.

Sehubungan itu, jelas beliau, balai-balai bomba di setiap zon dan negeri telah diberi maklumat berkenal lokasi hotspot banjir berkenaan sebagai persediaan.

”Apa yang penting ialah bagaimana untuk kita koordinasi logistik setempat agar kita dapat bertindak dengan lebih cepat ketika banjir berlaku,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutupan konvensyen pasukan bomba sukarela Zon Utara Tahun 2023, di sini hari ini.

NOR HISHAM Mohammad (tengah) bertemu anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) selepas merasmikan majlis perasmian penutupan konvensyen pasukan bomba sukarela Zon Utara Tahun 2023, di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

Menurutnya, JBPM juga telah mengenal pasti tiga negeri di Semenanjung untuk menempatkan aset-aset udara dan air sebagai persediaan pihak bomba bertindak balas dengan lebih pantas ketika banjir.

”Bagi kawasan Pantai Timur, kita akan letakkan aset-aset bomba di Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai di Terengganu.

”Bagi kawasan Utara aset air akan ditempatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda, manakala aset udara pula diletakkan di BBP di Bertam. Selain itu bagi kawasan Selatan, aset-aset bomba akan ditempatkan di BBP Ayer Itam, Johor,” katanya.

Tambahnya, pihak bomba juga dalam proses akhir untuk melengkapkan kemudahan jaringan aset udara jabatan berkenaan bagi memastikan mangsa banjir tidak terputus hubungan sekiranya berlaku kejadian tanah runtuh.

”Kita pernah berdepan masalah di mana berlaku banjir dan mangsa terputus makanan seperti kes banjir di Hulu Langat pada 2021, mangsa banjir minta bantuan untuk makanan tetapi tanah runtuh dan untuk baiki jalan lambat.

”Jadi sebagai persediaan tahun ini kita akan menggerakkan aset (udara) untuk hantar makanan dengan segera kepada mangsa banjir,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, pihaknya berharap kerajaan akan meluluskan cadangan JBPM supaya geran tahunan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000.

”Perkara ini telah diangkat ke pihak Kementerian Kewangan, kami pohon agar ia dapat diluluskan di peringkat kerajaan bagi memperkasakan PBS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya