4 peratus remaja bawah 17 tahun alami penderaan seksual secara maya

4 peratus remaja bawah 17 tahun alami penderaan seksual secara maya

AIMAN Athirah Sabu (empat dari kanan) memegang notis Antigangguan Seksual pada program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Kedah di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melahirkan kebimbangan dengan kes gangguan seksual yang melibatkan kanak-kanak dan remaja terutama secara dalam talian.

Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu berkata, berdasarkan laporan Unicef Malaysia sekurang-kurangnya empat peratus daripada kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun yang menggunakan internet mengalami ancaman eksploitasi dan penderaan seksual yang jelas secara maya.

Katanya, ibu bapa harus bersikap peka dan curiga dengan tindak tanduk anak-anak terutama ketika mereka bersendirian menggunakan gajet termasuk telefon bimbit bagi jangka masa yang lama.

“Kalau anak-anak dalam bilik diam-diam ia tidak semestinya sesuatu yang baik berlaku. Ibu dan ayah mesti peka. Anak-anak sangat terdedah kerana gajet walaupun mereka berusia kanak-kanak yang membolehkan mereka melayari dunia luar.

“Kalau ikut laporan itu, mereka jadi mangsa dalam talian selepas mereka berkenalan dan tersilap cara berkongsi gambar yang akhirnya digunakan sebagai ugutan untuk mereka melakukan yang lebih lagi. Akhirnya mereka terperangkap dalam gangguan seksual,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Kedah di sebuah hotel di sini hari ini.

Kata Aiman Athirah, kes gangguan seksual yang melibatkan kanak-kanak berjumlah 35 kes pada tahun lalu di seluruh negara termasuk dua kes di Kedah.

“Ini termasuk diperas ugut untuk terlibat dalam aktiviti seksual, imej seksual mereka dikongsi tanpa kebenaran atau dipaksa untuk melakukan aktiviti seksual melalui janji wang atau hadiah,” katanya.

Beliau menambah, pendidikan seks juga bukan lagi sesuatu yang sensitif dalam masyarakat hari ini dalam usaha menyedarkan kanak-kanak tentang gejala gangguan seksual itu.

“Sekarang adalah masa tepat kita menguasai ilmu pendidikan seksualiti, sentuhan selamat, proses akil baligh dan perubahan fizikal anak-anak apabila menginjak dewasa. Jangan elak jika dikatakan pendidikan seksual datang terlalu awal kerana penjahat gangguan seksual tidak akan menganggap anak kita terlalu muda.

“Persekitaran yang harmonis dalam sesebuah keluarga dapat membantu bina kepercayaan agar anak-anak bebas bersuara dan berkongsi pengalaman harian mereka. Anak-anak perlu dididik supaya dapat membezakan antara sentuhan selamat dan tidak selamat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya