JOHOR BAHRU: Seramai 3,482 pelajar baharu mula mendaftar masuk ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa dan UTM International Degree Program (IDP) untuk sesi akademik 2023/2024 bermula hari ini.
Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail daripada jumlah ini 3,318 pelajar akan mendaftar pengajian di kampus UTM Johor Bahru dan 164 pelajar di kampus UTM Kuala Lumpur.
Pelajar baharu ini terdiri daripada 1,678 pelajar lelaki dan 1,804 pelajar perempuan di mana kesemua pelajar ini akan mengikuti pengajian yang meliputi 57 program Sarjana Muda di 12 fakulti yang terdapat di UTM.
Tambah Ahmad Fauzi, pendaftaran kemasukan pelajar baharu kali ni menyaksikan tumpuan kepada tiga fakulti utama dengan bilangan pelajar tertinggi iaitu Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) seramai 529 pelajar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik seramai 488 pelajar diikuti dengan Fakulti Sains seramai 413 pelajar.
Selain itu, katanya, seramai 137 pelajar antarabangsa daripada hampir 20 buah negara turut mendaftar antaranya dari Indonesia, China, Yemen, Sudan dan Mesir.
“Pada sesi akademik kali ini, UTM turut menerima empat pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) yang kesemuanya bakal mengikuti jurusan sains dan teknologi (S&T) di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Sains dan Fakulti Komputeran,” katanya ketika ditemui.
Mengulas mengenai persediaan universiti dalam menerima pelajar baharu, Ahmad Fauzi berkata, pihak UTM kali ini memulakan persediaan awal bagi menyambut kehadiran pelajar baharu semester ini khususnya dalam usaha menyediakan kolej kediaman yang lebih kondusif dan selesa.
“Selain itu, pihak universiti juga sentiasa berusaha untuk mewujudkan ekosistem pembelajaran dan kehidupan yang baik bagi para pelajar termasuk sistem bantuan kewangan bagi pelajar yang kurang berkemampuan, kemudahan prasarana internet yang meluas, pelbagai kemudahan aktiviti riadah dan pembangunan pelajar
“Dan yang pasti, harga makanan di dalam kampus masih berpatutan dan Menu Rahmah juga masih diteruskan, kita cuba sebaiknya untuk memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga,” katanya.
Pelajar baharu ini akan mengikuti Program Minggu Mesra Mahasiswa (3M) bermula 1 hingga 5 Oktober 2023 untuk membuka ruang kepada mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan dan suasana kampus UTM.
Bagi pelajar yang mengidap penyakit saraf, Arisha Maisarah Nasruddeen, 20, berkata, dia tidak akan menjadikan alasan kekurangan dirinya untuk mendapat hak keistimewaan di kampus, sebaliknya akan berusaha sebaik mungkin mencapai cita-cita.

Anak kedua dari tiga beradik ini terpaksa menggunakan alat bantuan sokongan pada kedua belah kakinya untuk berjalan.
“Tanpa memakai alat bantuan sokongan, saya tidak dapat berjalan dengan betul dan akan sentiasa jatuh.
“Tapi, itu bukan alasan untuk saya tidak dapat meneruskan pengajian di universiti, bahkan menjadi semangat untuk mendapat keputusan cemerlang,” katanya.
Arisha yang berasal dari Batu Gajah, Perak akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia).
Seorang lagi pelajar dari Kota Belud, Sabah, Fatimahtul Nur Amierra Amir Hassan 19, yang mengalami masalah mata dan menggunakan mata palsu berharap pengajiannya di UTM dapat dipelajari sebaik mungkin dan mendapat keputusan cemerlang setiap semester.
Dia yang mengambil jurusan Kejuruteraan Bioperubatan selama empat tahun berharap cita-citanya untuk menjadi seorang pendidik akan menjadi kenyataan.-UTUSAN