KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penanaman Pokok Sepanjang Pantai Batu Buruk ke Pantai Pandak di Dataran Pantai Batu Buruk di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Ahli Dewan Pangkuan Diraja, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.
Baginda kemudian berkenan menyaksikan penyerahan replika cek daripada penderma kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebelum turut melakukan gimik perasmian di tapak penanaman pokok.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, sebanyak 3,000 batang pokok akan ditanam di tujuh buah zon sepanjang 11.3 kilometer (km) dari Pantai Batu Buruk ke Pantai Pandak.
Menurut beliau, program kerjasama MBKT dan Yayasan Diraja Sultan Mizan itu adalah tanda sokongan terhadap agenda nasional melalui Kempen Penanaman 100 juta Pokok menjelang tahun 2025.
Katanya, antara spesies pokok teduhan yang ditanam adalah pokok ketapang, rhu pantai, kelapa pantai dan ambang-ambang yang dipilih berdasarkan peranannya sebagai lindungan semulajadi.
“Pokok-pokok ini akan mewujudkan keseimbangan kawasan hijau dan pembangunan fizikal selain memberi kesan iklim dengan mengurangkan kepanasan serta meningkatkan kelembapan relatif,” katanya. – UTUSAN