ALOR SETAR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah mengenal pasti sejumlah 260 kawasan di seluruh negeri ini yang berisiko berlaku banjir sepanjang musim monsun timur laut (MTL) ketika ini.
Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, kawasan tersebut melibatkan daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena yang berada di Lembangan Sungai Kedah serta Kuala Muda, Baling dan Sik (Sungai Muda).
“Kita bersiap sedia melibatkan logistik bersama seramai 1,100 anggota untuk berjaga-jaga dan boleh digerakkan bila-bila masa jika berlaku banjir dan bencana terutama di kawasan berisiko banjir.
“Sebanyak 38 aset darat dan 85 aset air disiapkan untuk hadapi bencana kali ini. Kita turut bermesyuarat bersama pegawai APM membincangkan perkara berkaitan penambahbaikan dan pemantauan semasa di kawasan berisiko,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Sungai Anak Bukit di sini semalam.
Beliau berkata, pihaknya meletakkan anggota bagi memantau keadaan sungai yang mencatatkan peningkatan paras bahaya dan waspada terutama di kawasan penempatan.
Katanya, sungai yang dalam keadaan bahaya adalah Sungai Anak Bukit dan Sungai Naka; paras waspada (Sungai Janing dan Sungai Pendang) serta amaran (Sungai Laka).
“Penduduk di sekitar sungai ini kena sentiasa peka, berpindah jika kawasan mereka dinaiki air,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai berhati-hari ketika mengunjungi kawasan berisiko berlaku kejadian kepala air. – UTUSAN