260 kawasan berisiko banjir di Kedah

260 kawasan berisiko banjir di Kedah

ZAIRIL Anuar Zulmuji (kiri) bersama pegawai APM Kedah meninjau Sungai Anak Bukit yang berada dalam kategori bahaya di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah mengenal pasti sejumlah 260 kawasan di seluruh negeri ini yang berisiko berlaku banjir sepanjang musim monsun timur laut (MTL) ketika ini.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, kawasan tersebut melibatkan daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena yang berada di Lembangan Sungai Kedah serta Kuala Muda, Baling dan Sik (Sungai Muda).

“Bagi keseluruhan Kedah, APM bersiap sedia melibatkan logistik bersama seramai 1,100 anggota untuk berjaga-jaga dan boleh digerakkan bila-bila masa sekiranya berlaku banjir dan bencana terutama di kawasan berisiko banjir.

“Selain itu, sebanyak 38 aset darat dan 85 aset air disiapkan untuk hadapi bencana kali ini. Kita turut bermesyuarat bersama pegawai APM membincangkan perkara berkaitan penambahbaikan dan pemantauan semasa di kawasan berisiko di mana semasa berlaku hujan lebat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau Sungai Anak Bukit, di sini hari ini.

Tambah Zairil Anuar, pihaknya turut meletakkan anggota bagi memantau keadaan sungai di negeri ini yang mencatatkan peningkatan paras bahaya dan waspada terutama di kawasan penempatan penduduk.

“Lima sungai yang trend dalam keadaan bahaya adalah Sungai Anak Bukit dan Sungai Naka,  paras waspada (Sungai Janing dan Sungai Pendang) serta amaran (Sungai Laka). Bagi penduduk yang berada di sekitar sungai ini dikehendaki sentiasa peka, sekiranya dinaiki air sila berpindah segera,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hari ketika mengunjungi kawasan air terjun terutama yang berisiko berlaku kejadian kepala air ketika musim MTL kali ini.

“Kita mengenal pasti dua kawasan berisiko kepala air iaitu di Changkat Iboi, Baling dan Titi Hayun di Yan. Pada waktu cuti sekolah nanti saya kira keluarga akan ambil peluang beriadah di kawasan lata dan air terjun ini, jadi saya nasihatkan mereka supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan cuaca.

“Jika berlaku deruan angin atau hujan di kawasan bukit, kita nasihat supaya segera naik dan jauhkan daripada lata atau air terjun itu untuk elak berlaku kepala air supaya tak jadi mangsa,” jelasnya.

Menyentuh tentang situasi banjir terkini di Kedah, katanya, ia melibatkan daerah Sik, Pokok Sena, Bandar Baharu dan Padang Terap dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka yang melibatkan 118 mangsa.

“Bagaimanapun di Bandar Baharu dan Padang Terap tidak melibatkan pusat pemindahan. Di Sik dan Pokok Sena pula masing-masing ada dua PPS dibuka sejak semalam melibatkan keseluruhan 28 keluarga dan 118 mangsa. Trend air di dua daerah ini semakin meningkat jadi kita dalam keadaan berjaga-jaga,” ujarnya.

Beliau pada masa sama menasihatkan agar penduduk di kawasan yang berlaku banjir mengikut arahan pihak berkenaan supaya berpindah bagi mengelak insiden tidak diinginkan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya