2,300 kes jantung direkodkan HASA sejak 30 bulan - Utusan Malaysia

2,300 kes jantung direkodkan HASA sejak 30 bulan

Jantung
DR. Sazzli Shahlan Kasim (kiri) bersama Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin pada sambutan Hari Jantung Sedunia 2023 dan Program Masyarakat Sihat (MaSiH) UiTM dekat Puncak Alam di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima kira-kira 2,300 pesakit berkaitan masalah jantung sejak ia mula beroperasi 30 bulan lalu.

Pengarah HASA, Profesor Dr. Sazzli Shahlan Kasim, berkata peningkatan terhadap jumlah pesakit tersebut berlaku setiap tahun amat membimbangkan kerana fasiliti yang terhad.

“Kapasiti katil di sini hanya 400 unit berbanding jumlah populasi di sekitar kawasan ini yang mencapai 1.5 juta orang. Jika ramai yang sakit pasti kita tidak mampu memberikan perkhidmatan yang sewajarnya.

“HASA dan Hospital Pakar UiTM di Sungai Buloh tidak menang tangan melakukan rawatan angioplasty dan bypass sepanjang masa sejak kedua hospital ini ditubuhkan. Kita melakukan 2,000 pembedahan angioplasty dan 300 pembedahan bypass,” katanya pada sambutan Hari Jantung Sedunia 2023 dan Program Masyarakat Sihat (MaSiH), hari ini.

Beliau yang juga pakar kardiologi menjelaskan, masalah jantung kebanyakannya melibatkan orang lelaki dengan nisbah pesakit yang dirawat adalah 70 peratus golongan tersebut dan 30 peratus kaum Hawa.

“Golongan wanita juga ramai sakit jantung tetapi memilih untuk membuat rawatan pada tahap akhir. Ini disebabkan kelewatan pengesanan dilakukan sama ada melalui prosedur electrocardiogram (ECG) atau peringkat yang lebih serius, angiogram dan kosnya tinggi.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Penyakit berkaitan jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia dengan merekodkan 18,515 kematian.

Statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia 2022 menunjukkan bahawa Ischaemic heart diseases mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini pada tahun 2021 iaitu 13.7 peratus selepas Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, Ischaemic heart diseases juga merupakan sebab kematian utama bagi kumpulan umur 41 hingga 59 tahun (20 peratus) dan 60 tahun ke atas (18).

Dalam pada itu, Dr. Sazzli menjelaskan punca yang menyebabkan kepada masalah itu adalah pemakanan dan kebanyakan rakyat Malaysia gemar makanan berminyak, berlemak serta bergula.

“Harus diingat kepada semua, sakit jantung mengikut rekod mencatatkan lebih 100,000 kes setiap tahun di seluruh negara. Maka berjaga-jaga, makanlah ikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), suku suku separuh.

“Bayangkan sebanyak RM9.6 bilion kerugian dicatatkan setahun (kerana kehilangan tenaga kerja) disebabkan rakyat kita menghidap sakit jantung,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya