KAMPAR: Sebanyak 215 struktur menara telekomunikasi di negeri ini gagal menyempurnakan proses permohonan permit kelulusan dalam tempoh program pemutihan yang dilaksanakan sehingga 30 Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, jumlah itu adalah daripada keseluruhan 666 struktur menara ketika program berkenaan dilaksanakan melalui Digital Perak pada 2021.
Menurutnya, daripada 215 struktur itu, kawasan Ipoh mempunyai bilangan paling banyak iaitu 83, Manjung (31), Taiping (31), Teluk Intan (14), Kuala Kangsar (12), Taiping (12), Kerian (9), Tapah (8), Batu Gajah (6), Kampar (4), Perak Tengah (4) dan Gerik (1).
“Walaupun tempoh program pemutihan telah berakhir, tetapi kita akan cuba selesaikan permohonan 215 struktur itu secepat mungkin kerana ia adalah antara penyumbang hasil kepada kerajaan.
“Bagaimanapun kesemua struktur ini akan dikompaun oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pejabat daerah dan tanah (PDT) di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada perasmian Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Peringkat Negeri Perak Kali Ke- 50 di Kompleks Rakan Muda Kampar di sini, hari ini.
Menurut Mohd Azlan, bagi membantu mengurangkan pembinaan struktur telekomunikasi tanpa permit, pihaknya telah mengambil beberapa tindakan.
Katanya, antaranya memudahkan proses pembinaan melalui penambahbaikan kepada tempoh kelulusan permohonan di peringkat PBT dan PDT.
Selain itu, ujarnya, kerajaan juga akan menguatkuasakan kad laporan prestasi di samping melaksanakan proses kelulusan khas di peringkat kerajaan negeri.
“Kita juga melaksanakan program khas bersama pihak PBT dan agensi teknikal lain sedia ada kepada struktur berintergrasi pemancar telekomunikasi yang turut menggabungkan elemen ‘smart city’ termasuk sensor dan IoT,” tambahnya.
Mohd Azlan berkata, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk meningkatkan liputan internet di sekolah, termasuk di kawasan luar bandar.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak tertakluk kepada penggunaan struktur menara telekomunikasi kerana ia mengambil masa yang lama untuk perkhidmatan kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Kita tak mahu kejadian memanjat pokok untuk mendapatkan liputan internet berlaku di Perak,” katanya. – UTUSAN