205 ‘keldai dadah’ rakyat Malaysia ditahan di luar negara - Utusan Malaysia

205 ‘keldai dadah’ rakyat Malaysia ditahan di luar negara

MOHD. KAMARUDIN MD. DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Faktor kewangan selain desakan hidup dilihat menjadi penyumbang segelintir rakyat Malaysia sanggup menjadi keldai dadah.

Utusan Malaysia difahamkan, ada juga keldai dadah dijadikan ‘kurier’ untuk membawa barangan larangan itu ke negara lain selepas diperdaya sindiket dengan menjanjikan bayaran lumayan.

Difahamkan, upah yang diterima individu terlibat dengan kegiatan itu antara RM5,000 dan RM10,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din mendedahkan kepada Utusan Malaysia, seramai 205 rakyat negara ini ditahan di luar negara kerana menjadi keldai dadah dalam tempoh lima tahun sejak 2019.

Kata beliau, mereka yang ditahan sepanjang tempoh itu terdiri daripada 178 lelaki dan 27 wanita.

“Tangkapan tertinggi dilakukan pada 2019 dengan 86 individu diberkas terdiri 68 lelaki dan 18 wanita diikuti 2020 (58 individu); 2021 (24 individu) dan 2020 (18 individu).

“Bagi tahun ini sehingga kini, seramai 19 orang ditahan terdiri 15 lelaki dan empat wanita,” katanya di sini semalam.

Kes terbaharu iaitu membabitkan seorang warga Malaysia berusia 34 tahun yang ditahan pihak berkuasa Australia bersama tiga lagi lelaki berkaitan rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 622 kilogram (kg) di Melbourne pada 11 Oktober lalu.

Hasil pemeriksaan, polis negara berkenaan menemukan 622 bungkusan teh emas dan hijau, dengan setiap satu seberat satu kilogram yang disembunyikan dalam palet gulungan kertas tandas.

Dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai A$560 juta (RM1.7 billion).

Mengulas lanjut kata beliau, penyeludupan dadah ini dilakukan dengan pelbagai cara iaitu dengan menggunakan laluan darat, laut dan udara.

“Sindiket akan menggunakan pelbagai taktik yang bersesuaian bagi menga­buri mata penguat kuasa daripada dikesan,” katanya.

Katanya, salah satu faktor yang menyumbang kepada Malaysia dijadikan negara transit dadah adalah geografi.

Jelas beliau, kedudukan Malaysia yang strategik di rantau Asia Pasifik yang menjadi penghubung di antara timur dan barat menyebabkan negara ini menjadi pilihan utama sindiket pengedaran dadah antarabangsa untuk dijadikan negara transit dadah.

“Kemudahan infrastruktur juga menyebabkan kemasukan dadah sukar dikawal kerana sindiket membawa ma­suk dadah ke dalam negara melalui jalan laut, udara dan darat.

“Ia termasuk melalui lorong-lorong tikus di sepanjang sempadan Malaysia – Thailand, Malaysia – Indonesia dan Malaysia – Singapura,” katanya.

Tambah Mohd. Kamarudin, bekalan-bekalan dadah ini kebiasaannya diperoleh dari negara jiran.

Beliau memberitahu, negara jiran ini merangkumi kawasan ‘golden triangle’ iaitu Thailand, Myanmar, Laos dan Vietnam yang merupakan salah satu kawasan pengeluaran dadah terbesar dunia.

“Di samping itu, kedudukan negara yang berdekatan dengan kawasan pengeluar utama dadah dunia iaitu kawasan Segitiga Emas turut menjadi salah satu faktor kebanjiran dadah ter­utamanya methamphetamine (syabu) di negara ini,” katanya.

Kata Mohd. Kamarudin, sebanyak 1,070 sindiket pengedaran telah dilumpuhkan JSJN sejak 2020 sehingga kini dengan seramai 5,031 tangkapan dilakukan.

“Tangkapan tertinggi dilakukan pada 2020 dengan 305 sindiket dilumpuhkan dan 1,204 individu diberkas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN