2,000 penunggang motosikal 'bingitkan' Festival D’ Kukup

2,000 penunggang motosikal ‘bingitkan’ Festival D’ Kukup

JEFRIDIN Atan (tengah, baju putih) bersama-sama kira-kira 2,000 penunggang yang menyertai program ‘Motorday’ sempena Festival D’ Kukup di Taman Rekreasi Pantai Rambah, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Deruan enjin motosikal termasuk yang berkuasa tinggi memeriahkan hari terakhir Festival D’ Kukup di Pantai Rambah dengan kehadiran kira-kira 2,000 penunggang dalam program ‘Motorday’, di sini semalam.

Pelbagai jenis motosikal termasuk yang ‘retro’ dan terkini membanjiri Taman Rekreasi Pantai Rambah yang datang dari seluruh negeri ini serta Singapura untuk tujuan merapatkan hubungan silaturahim.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan dalam ucapan ringkasnya mencadangkan supaya Taman Rekreasi Rambah sebagai salah satu destinasi ‘mat motor’ untuk berkumpul mengadakan aktiviti mereka.

“Saya mengalu-alukan kehadiran penunggang motosikal ke DUN Kukup bagi sama-sama memeriahkan Festival D’ Kukup sebagai satu usaha mempromosi kawasan ini sebagai destinasi pelancongan. Semoga Taman Rekreasi Pantai Rambah ini menjadi salah satu lokasi ‘gathering’ untuk ‘bikers’ di Johor dan seluruh negara pada masa akan datang seperti di Desaru, Kota Tinggi,” katanya.

Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, Asisten Superintenden Rizal Ahmad yang mewakili Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib.

Program turut disertai oleh Brother Motor yang berkonvoi bersama-sama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Pusat Perniagaan Kota Emas sejauh tujuh kilometer ke Pantai Rambah.

Sempena program tersebut turut adakan dialog ringkas antara pihak polis dan para peserta program termasuk tentang kesalahan utama yang sering dilakukan orang ramai ketika operasi atau pemeriksaan dijalankan, iaitu tidak mempunyai lesen memandu, kenderaan tiada cukai jalan dan tiada perlindungan insurans.

“Kami berharap semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan termasuk tidak membenarkan mereka di bawah umur 18 tahun membawa kenderaan,” katanya sambil memberitahu ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal dan kereta akan dikenakan tindakan tegas.

Sementara itu, dua pemilik motosikal ‘retro’, Harizan Ahmad, 46, dan Guntor Kamari, 59, antara ribuan peserta yang menyertai ‘Motorday’ yang datang dari Paloh, Kluang.

Harizan menunggang motosikal Yamaha YS yang dikeluarkan pada tahun 1974 yang dibeli pada harga RM4,000 pada 2017, manakala Guntor memilik motosikal RXS115 yang dibeli dengan harga RM4,500 pada 2017.

Mempunyai minat dan kegemaran yang sama, kedua-duanya juga sering mengikuti perjumpaan pemilik motosikal sehingga ke Selangor bagi memenuhi hobi masing-masing.

Festival D’ Kukup selama tiga hari yang bermula Jumaat lalu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti bagi merapatkan hubungan antara rakyat dan kerajaan terutama di kawasan DUN Kukup dan daerah Pontian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya