200 pemain meriahkan Kejohanan Golf Pelancongan

200 pemain meriahkan Malaysia Truly Asia Tourism Golf Challenge 2023

DR. AMMAR Abd. Ghapar (tengah) menyampaikan hadiah juara gross kepada Mohd. Nasir Othman sambil disaksikan Musa Yusof (kanan) di sebuah hotel di Saujana Golf & Country Club, Subang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 200 pemain golf tempatan dan antarabangsa memeriahkan pertandingan Malaysia Truly Asia Tourism Golf Challenge 2023 sempena ulang tahun ke-50 Tourism Malaysia semalam.

Kejohanan yang berlangsung dalam dua sesi iaitu pagi dan petang di Saujana Golf & Country Club (SGCC), Subang, dan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM500,000 itu turut mendapat kerjasama daripada Koperasi Kakitangan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Berhad (Koppema) bersama lebih 40 organisasi sebagai rakan kongsi strategik dan penaja.

PARA pemain bergambar sebelum memulakan pertandingan sesi pagi Malaysia Truly Asia Tourism Golf Challenge 2023 di Saujana Golf & Country Club, Subang,

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata, kejohanan itu merupakan peluang keemasan untuk Tourism Malaysia mempromosi negara sebagai destinasi golf utama.

“Kami percaya dan yakin pelancongan dapat dijana daripada penganjuran acara sukan utama seperti golf ini.

“Para pemain golf tidak perlu pergi jauh untuk mencari pengalaman golf baharu dengan adanya lebih 200 padang golf di seluruh negara,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang di hotel SGCC.

SEBUAH kereta Perodua Aruz dan dua buah motosikal Harley Davidson yang ditawarkan kepada pemain yang berjaya melakukan Hole In One.

Menurut Dr. Ammar, budaya rakyat Malaysia yang pelbagai, sejarah yang kaya, padang golf yang cantik, pilihan makanan yang menakjubkan dan tarikan semula jadi yang indah pastinya akan menjadi kenangan yang kekal untuk dibawa pulang.

Pertandingan Malaysia Truly Asia Tourism Golf Challenge 2023 ini, katanya, adalah jalan terbaik untuk mengukuhkan kerjasama antara pemain industri pelancongan, khususnya di Malaysia sekali gus mampu menarik pemain golf antarabangsa untuk memilih Malaysia sebagai destinasi percutian mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof pula berkata, Malaysia menawarkan kejohanan yang mencabar dalam persekitaran yang menakjubkan, dengan beberapa padang bertaraf dunia yang direka oleh arkitek golf terkemuka seperti Robert Trent Jones Junior dan Ronald Fream.

ANTARA penaja turut menjayakan Kejohanan Golf Pelancongan sempena ulang tahun ke-50 Tourism Malaysia semalam.

“Malaysia juga pernah menjadi tuan rumah Kejohana Golf Piala Dunia di mana bekas pemain nombor satu dunia, Tiger Woods dan pemain legenda, Mark O’Meara pernah bermain di Mines Golf Resort and Country Club.

“Kepada pemenang malam ini, tahniah dan berjumpa lagi. Kepada mereka yang tidak berjaya kali ini, kami berharap anda akan pulang dengan pengalaman percutian yang tidak dapat dilupakan di Malaysia dan kembali pada tahun hadapan untuk bersaing lagi,” katanya.

Dalam pertandingan Malaysia Truly Asia Tourism Golf Challenge 2023 itu, Mohd. Nasir Othman dari Melaka muncul juara gross selepas merekod 72 pukulan keseluruhan dan beliau memenangi sebuah jam tangan berjenama Fateh bersama piala.

PARA pemain sesi petang merakam kenangan sebelum pertandingan bermula.

Mohd. Al Hafiz Mohd. Yusoff pemain handikap 7 pula dinobatkan sebagai johan Medal A dengan kutipan 39 mata, manakala naib johan milik Mohamad Fauzan Md. Isa, handikap 8, juga 39 mata dan Ahmad Khairul Azizi, handikap 17 di tempat ketiga juga 39 mata.

Bagi Medal B pula, johan dirangkul oleh pemain handikap 19, Mohd. Afif Mohd. Ghani yang meraih 37 mata, diikuti Ahmad Kashfi Mohd. Ali (36 mata) dan Mohd. Akmal Hajam juga 36 mata.

Sebuah kereta Perodua Aruz dan dua motosikal Harley Davidson yang dipertaruhkan untuk pemenang pukulan selubang (Hole In One), bagaimana gagal dimenangi pemain.

Apa yang lebih menarik, pihak Tourism Malaysia turut menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada semua pemain yang gagal memenangi hadiah utama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya