LUMUT: Sisa peralatan perikanan, sisa plastik, aluminium, tin, logam serta kaca dan polisterin seberat 2.28 tan metrik antara bahan sukar reput dikumpul 50 sukarelawan yang menyertai program membersihkan pulau tersebut sempena Hari Konservasi Pulau Sembilan 2023 di sini baru-baru ini.
Naib Presiden Persatuan Konservasi Samudera Perak (Ocean 9), Raja Nor Safrina Raja Shahrul Zaman berkata, sukarelawan terbabit dari Kumpulan Program Jiwa Murni Tentera Laut Diraja Malaysia, Ocean 9 dan Persatuan Sahabat Aktivitis Alam (Kuasa) bergabung tenaga pada program anjuran Perbadanan Taman Negeri Perak itu.
Menurutnya, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnanin Sultan Idris Shah berkenan menyertai program kali kedua itu.
Beliau berkata, program bertujuan membersihkan pencemaran di Pulau Sembilan di samping menyumbang kepada keseimbangan ekosistem sekitarnya.
“Pulau Sembilan adalah pulau yang tidak berpenghuni, sampah sarap yang terperangkap di pulau ini dibawa oleh arus Selat Melaka. Ia juga datang daripada aktiviti nelayan persisiran pantai berdekatan dan sungai.
“Menerusi program ini kami mengutip sisa peralatan perikanan, sisa plastik, aluminium, tin, logam serta kaca dan polisterin.
“Bahan-bahan ini sukar reput dan boleh memberi kesan terhadap alam sekitar dan secara keseluruhannya, sejumlah 2,282.70 kilogram atau 2.28 tan metrik dibawa keluar dari pulau ini,” katanya.
Menurutnya, menjadi tanggungjawab semua pihak menjaga kerbersihan dan kelestarian alam.
“Katanya, ini kerana sampah yang dibuang akan memberi kesan kepada kesejahteraan kehidupan manusia serta kelestarian kehidupan haiwan di atas darat mahupun lautan.
“Kami berharap aktiviti konservasi Pulau Sembilan ini dapat memberi inspirasi kepada semua lapisan masyarakat dan pihak terlibat untuk memainkan peranan masing-masing dalam memelihara alam sekitar bagi mewujudkan persekitaran dan ekosistem yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN