1MDB: Pendakwaan mohon pinda tiga pertuduhan Najib

1MDB: Pendakwaan mohon pinda tiga pertuduhan Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak memohon untuk meminda tiga pertuduhan yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri itu.

Pindaan tersebut membabitkan jumlah yang terlibat dalam satu pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan bagi mendapatkan rasuah dan dua tuduhan pengubahan wang haram.

Pindaan tersebut menjadikan jumlah penyelewengan RM2,282,937,678.41 (RM2.28 bilion) kepada RM2,277,577,613.41 (RM2.27 bilion).

Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar ketika mengemukakan permohonan tersebut pada prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menyatakan pindaan tersebut adalah rentetan daripada keterangan yang diberikan oleh saksi pendakwaan.

Dua saksi itu ialah ke-47, Adam Ariff Mohd. Roslan (yang menganalisis aliran jejak wang yang diselewengkan daripada 1MDB) dan saksi pendakwaan ke-48, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min.

Jelas Kamal Baharin, Pendakwa Raya mempunyai budi bicara sendiri untuk meminda pertuduhan pada bila-bila masa selagi mana kes itu belum diputuskan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan dibaca bersama Sesyen 376 Kanun Tatacara Jenayah. 

Tambahnya, pindaan tersebut tidak akan memprejudiskan Najib tau merugikan tertuduh kerana Najib akan diberi setiap peluang untuk membela diri.

Bagi pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan suapan, pendakwaan memohon untuk meminda jumlah RM49,930,985.70 kepada RM44,570,920.70.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, jumlah yang hendak dipinda ialah daripada RM652,600,000 kepada  RM515,666,277.51 (pertuduhan ke-10) manakala bagi pertuduhan ke-21, pindaan jumlah RM12,436,711.87 kepada RM11,411,646.34.

Sementara itu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib membantah pindaan tersebut dibuat atas alasan antaranya pindaan terhadap jumlah tersebut boleh memprejudiskan pembelaan mereka.

“Ini adalah sesuatu yang serius yang berlaku pada peringkat pendakwaan dan kami akan berhujah mengenainya (dengan terperinci) esok. Pendakwaan mendakwa pindaan hanya membabitkan jumlah tetapi ia sebenarnya lebih daripada itu,”kata peguam itu.

Perbicaraan bersambung esok. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN