1MDB: PDRM optimis dapat bawa pulang aset milik Jasmine Loo

1MDB: PDRM optimis dapat bawa pulang aset milik Jasmine Loo

RAMLI Mohamed Yoosuf ketika ‘flag off’ dalam Majlis Pelancaran Kapcai Ride Anti-Scam JSJK 2023 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu maklum balas pihak berkuasa Singapura dan Amerika Syarikat (AS) bagi membawa pulang aset bernilai RM93.2 juta dipercayai milik bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, permohonan untuk membawa pulang aset berkenaan telah dihantar ke pihak berkuasa negara terlibat.

“Kita masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa Singapura dan AS bagi mendapatkan semula aset itu.

“Kita optimis ke arah usaha itu kerana permohonan untuk membawa pulang aset berkenaan datang dari pihak dia (Jasmine) sendiri dan setakat ini respon yang kami terima dari pihak berkuasa di sana sangat baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kapcai Ride Anti-Scam JSJK 2023 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) hari ini.

Jasmine, 49, ditahan pada 7 Julai lalu selepas menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana 1MDB.

Bulan lalu, PDRM mengesahkan sudah menyita dan merampas sebahagian aset hasil penyelewengan 1MDB yang didaftarkan atas nama Jasmine Loo.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, aset itu merangkumi hartanah, akaun bank, lukisan, beg tangan berjenama mewah, jam tangan dan dokumen berkaitan dianggarkan bernilai RM93.2 juta iaitu nilai semasa pembelian dibuat pada 2013

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng Chong Hwa, Ramli berkata, siasatan masih di peringkat awal.

Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk bagi mendapatkan semula aset tersebut.

“Siasatan masih awal, siasatan masih dijalankan,” katanya.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain mengesahkan pihaknya telah menahan Roger selepas tiba di negara ini pada Sabtu lalu.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

Jelas beliau, siasatan memfokus kepada modus operandi Roger dalam penjualan bon termasuk komisen yang diperoleh.

“Tumpuan siasatan kita bagi mendapatkan semula aset antaranya akaun bank, kenderaan dan rumah,” katanya.

19 Disember 2018, Roger mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini, antara 19 Mac 2012 hingga 11 November 2013. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya