1,912 calon simpanan doktor kontrak dilantik tetap

1,912 calon simpanan doktor kontrak dilantik tetap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 1,912 calon simpanan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi diluluskan untuk pelantikan tetap untuk mengisi baki kekosongan jawatan itu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, kelulusan itu melibatkan sejumlah 1,226 calon simpanan pegawai perubatan, 216 calon simpanan pegawai pergigian dan 470 calon simpanan pegawai farmasi.

Menurutnya, pelantikan ini adalah selaras dengan baki kekosongan sedia ada dan kelulusan perjawatan tetap oleh agensi pusat pada tahun ini.

“Urusan tawaran pelantikan tetap dan penerimaan tawaran oleh calon simpanan sedang dilaksanakan menerusi Sistem Tawaran Pelantikan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (MySTP SPA) dalam tempoh 21 hari bermula pada 2 Oktober lalu.

“Sepertimana urusan terdahulu, bagi memastikan ketelusan dalam pelaksanaan, semua calon diberi ruang untuk memilih sendiri penempatan secara dalam talian menerusi sistem e-placement,” katanya hari ini.

Berdasarkan kepada pengisian semasa, KKM berkata, jumlah kekosongan jawatan di Lembah Klang dan wilayah tertentu adalah sangat terhad.

Sehubungan itu, katanya, pegawai termasuk pasangan yang berkhidmat dalam salah satu perkhidmatan, boleh merancang dan memilih penempatan di luar Lembah Klang termasuklah memilih penempatan di kawasan luar bandar dan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Pemilihan penempatan di luar Lembah Klang juga mempunyai kelebihan dari segi kos sara hidup, pegawai boleh mendapat insentif seperti Bayaran Insentif Wilayah dan mendapat pengalaman kerja berbeza.

“Seperti yang dijelaskan dalam sistem e-placement, pemilihan penempatan ini adalah diwajibkan bagi tujuan pengesahan melapor diri bertugas,” katanya.

KKM berkata, selaras dengan keprihatinan terhadap kebajikan pegawai, khususnya bagi calon simpanan yang sedang mengikuti pengajian kepakaran, berjauhan dengan pasangan atau mengalami masalah kesihatan yang serius, KKM turut menyediakan saluran untuk rayuan menerusi google form.

Katanya, bagi calon yang menghadapi masalah kesihatan serius, semakan silang akan dilaksanakan dengan laporan pemeriksaan kesihatan yang dikemukakan dalam sistem MySTP bagi menentusahkan tahap dan status kesihatan.

“Calon akan menerima pemakluman penempatan di peringkat fasilliti daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mulai 14 November depan dan tarikh lantikan tetap calon adalah berkuat kuasa pada tarikh lapor diri bertugas iaitu 18 Disember 2023,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya