GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan seramai 16 nelayan warga Indonesia selepas didapati tidak memiliki permit yang sah serta menceroboh perairan negara.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim SP Nak Rong berkata, KM BURAU mengesan dua bot nelayan asing Indonesia sedang bergerak di dalam perairan Malaysia iaitu kira-kira 77 kilometer barat daya Pulau Kendi, dekat sini pagi semalam.
Katanya, menyedari bot terbabit adalah bot nelayan asing, KM BURAU berusaha untuk memberhentikan bot nelayan itu di posisi berkenaan.
”Hasil pemeriksaan awal pada bot pertama mendapati lima kru termasuk tekong warga Indonesia berumur antara 18 hingga 60 tahun.
”Di bot kedua pula, terdapat seramai enam orang termasuk tekong warga Indonesia berumur antara 27 hingga 41 tahun di posisi yang sama,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, selain dua bot tersebut KM BURAU turut menahan sebuah bot nelayan asing di sekitar 77 kilometer barat Pulau Kendi pada 18 Oktober lalu.
“Seramai lima kru warga Indonesia termasuk tekong mengendalikan bot berkenaan telah ditahan.
“Secara keseluruhannya, sejumlah 16 orang kru warga asing yang berada di tiga bot nelayan ini telah ditahan,” katanya.
Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua kru bot berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan ketiga-tiga bot terbabit didapati memasuki perairan Malaysia bagi tujuan menangkap ikan.
”Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di dalam perairan perikanan Malaysia tanpa permit dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit yang sah.
“Kesemua 16 orang kru warga asing telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang malam tadi untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN