KUALA TERENGGANU: Lebih 15,000 penonton terpukau menyaksikan persembahan Tatu Tentera Darat sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat menyaksikan persembahan itu bersama Yang Dipertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Staf Markas Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zaidan Atan.
Sebanyak 12 pertunjukan disajikan kepada penonton yang melibatkan seramai 2,100 pegawai dan anggota tentera darat.
Aksi pembuka tirai dimulakan pasukan komando terulung, 21 Grup Gerak Khas melalui demonstrasi menyelamat tebusan yang memaparkan taktik dan kemahiran bertempur jarak dekat.
Antara persembahan lain yang menarik perhatian penonton adalah persembahan drumline, pancaragam, tarian perang para, tempur tanpa senjata, kawad senyap, kemahiran menunggang kuda dan pertunjukan anjing perang.
Selain itu, venua berkenaan juga digegarkan persembahan Pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat memaparkan kemahiran pengendali dengan pelbagai formasi dan kemahiran bertempur.
Mengakhiri persembahan adalah demostrasi terjunan lapan penerjun yang dilepaskan oleh pesawat EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jarak 6,000 kaki di udara.
Pertunjukan bunga api dan lintas hormat kemudian menutup tirai persembahan tersebut. – UTUSAN