PUTRAJAYA: Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Dr. Mohamed Salleh Ismail hari ini meluahkan kesyukuran atas keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskan beliau dan tiga anaknya dari kes saman kerajaan berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.
Beliau berkata, selama lebih 12 tahun, beliau dan keluarga menempuh pelbagai cabaran termasuk apabila isterinya, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil terpaksa meletakkan jawatan atas arahan Kabinet.
“Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana fitnah-fitnah yang dilemparkan ke atas saya dan keluarga selama lebih 12 tahun akhirnya terbukti salah.
“Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi semalam oleh Hakim Anand Ponnudurai jelas dan nyata membuktikan saya dan ketiga-tiga anak saya tidak bersalah dengan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kapada kami sejak perbicaraan NFC yang bermula pada 2012, mahupun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Mohamed Salleh bersama tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah dibebaskan dan dilepaskan daripada saman kerajaan membabitkan RM253.6 juta.
Ini kerana mahkamah mendapati Kerajaan Malaysia gagal membuktikan kes terhadap kesemua defendan.
Mohamed Salleh berkata, terang lagi bersuluh, Hakim, Anand Ponnudurai membuat keputusan berasaskan fakta sebenarnya bahawa tiada penyelewengan atau apa jua salah laku.
Malah, katanya, semua urusniaga termasuk pembelian hartanah dijalankan dengan tatakelola yang betul mengikut perjanjian pinjaman.
Jelasnya, walaupun beliau telah dihukum terlebih dahulu oleh ‘mahkamah pandangan awam’, keputusan semalam menyaksikan bahawa perundangan negara telah menegakkan kebenaran.
“Saya reda dengan ujian yang telah ditimpa ke atas saya dan keluarga. Isteri saya, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menjadi mangsa politik tohmahan dan penganiaan ini.
“Bila beliau dengan rela hati meletakkan jawatan dalam Kabinet akibat fitnah-fitnah berkenaan pada masa itu, saya juga pasrah,” katanya. –
Terdahulu, peguam mewakili Mohamad Salleh, Datuk K. Kirubakaran dan Datuk Seri Rajan Navaratnam berkata, mahkamah juga menyatakan bahawa tiada penyalahgunaan wang pinjaman dan tiada pelanggaran ‘fiduciary duties’ oleh defendan-defendan.
“Mahkamah membebaskan keluarga Mohamad Salleh dan defendan-defendan dari semua pertuduhan penyelewengan.
“Mahkamah Tinggi mendapati bahawa Kerajaan Malaysia melanggar Perjanjian Pelaksanaan apabila mereka gagal membina ‘Export Quality Abattoir’ dan melanggar Perjanjian Pinjaman apabila mereka membatalkan perjanjian tersebut secara tidak sah,” katanya. – UTUSAN