1,000 pemandu lori berhimpun protes operasi JPJ

1,000 pemandu lori berhimpun protes operasi JPJ

SEBAHAGIAN daripada pemandu lori yang berhimpun di pekarangan pejabat JPJ negeri di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lebih 1,000 pemandu lori berhimpun di pekarangan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri sebagai tanda protes terhadap operasi penguatkuasaan yang dikenakan terhadap mereka.

Wakil Persatuan Pengusaha Kecil Kenderaan Perdagangan Pantai Timur, Ibrahim Mamat berkata, dalam perhimpunan aman itu pihaknya turut menyerahkan memorandum mengandungi lapan tuntutan berhubung isu tersebut.

Ibrahim mendakwa, operasi bersepadu antara JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dibuat secara melulu menyebabkan pengusaha dan pemandu lori hilang punca pendapatan utama mereka.

Justeru itu menurutnya, pihak persatuan menuntut kerajaan mengkaji semula prosedur operasi standard penguatkuasaan dan lebih bersikap bertimbang rasa kepada pemandu lori.

“Situasi ini meletakkan golongan pengusaha dan pemandu lori semakin tertekan dengan tindakan penguatkuasaan yang seolah-olah melayan kami yang sedang bekerja seperti penjenayah.

“Antara tuntutan kami ialah perlepasan had muatan, pengurangan waktu operasi, tindakan saman terhadap pengilang dan pelombong, kenaikan sewa kenderaan perdagangan dan menghapuskan sistem saman demerit.

“Jadi kami sepakat untuk mogok dan tidak bekerja selama seminggu dan berharap pihak berkuasa atau kerajaan memberi perhatian terhadap rintihan pemandu lori,” katanya ditemui di sini, hari ini.

Seorang lagi pemandu lori, Anuar Rizki, mendakwa, masalah itu semakin menjadi-jadi sejak JPJ dan PDRM menggandakan operasi di seluruh negara bermula awal bulan ini.

Jelasnya, operasi bersepadu itu mengenakan tindakan berat termasuk kompaun terhadap pemandu lori meskipun mereka telah mematuhi syarat atau peraturan yang ditetapkan.

“Kami bekerja berbulan-bulan kumpul duit untuk menyara keluarga, selenggara kenderaan, cukai jalan dan lesen namun duit simpanan habis sekelip mata membayar kompaun malah ditahan di lokap.

“Ada juga kenderaan yang disita kemudian dilelong, jadi tindakan itu tidak wajar kerana ramai yang bergadai sebidang tanah untuk membeli lori sekaligus hilang punca pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin, ketika ditemui mengesahkan telah menerima tuntutan memorandum daripada wakil pengusaha lori hari ini.

“Melihat kepada memorandum itu, tuntutan dikemukakan adalah melibatkan dasar agensi kerajaan dan saya akan panjangkan perkara ini kepada ibu pejabat untuk tindakan lanjut,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya