10 individu tak mengaku tawar iklan persundalan secara online - Utusan Malaysia

10 individu tak mengaku tawar iklan persundalan secara online

SERAMAI 10 individu dihadapkan di Mahkamah Sesyen Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menawarkan iklan persundalan membabitkan pelacur antarabangsa secara online, dua minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BALIK PULAU: Seramai 10 individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menawarkan iklan persundalan membabitkan pelacur antarabangsa secara online, dua minggu lalu.

Tertuduh, Soay Say Hean; Teh Hang Wei; Karen; Tang Xin Ying; Lay Cheak Joe; Jack Oon Han Jie; Lee Suet Yee; Beh Shing Ping; Ang Hooi Qian; Lim Shin Ghee dan Beh Shin Yuan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Sebelum itu, kesemua tertuduh berusia antara 21 hingga 33 tahun mengangguk faham semua pertuduhan yang dibacakan secara serentak dalam Bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa telah mengiklankan khidmat persundalan secara atas talian dalam satu laman web yang semunasabahnya boleh difahami sebagai platform yang menawarkan mana-mana orang bagi maksud persundalan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di sebuah premis di Bayan Lepas di sini, kira-kira pukul 5.30 petang, 20 Oktober lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372(1)(e) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 dengan membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala Peguam C. P Ang dan K. Selva mewakili tertuduh.

Ketika prosiding, pihak pembelaan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada setiap tertuduh beserta syarat tambahan.

Namun, pihak pembelaan memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan tersebut kepada RM5,000 setiap seorang disebabkan ada anak guam yang masih menjaga ibu bapa warga emas selain memperoleh pendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh diikat jamin RM6,500 setiap seorang dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.

Difahamkan, kesemua tertuduh membayar ikat jamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 November ini.

Terdahulu, akhbar melaporkan, polis menumpaskan sebuah pusat panggilan sindiket pelacuran antarabangsa yang mengaut keuntungan sehingga RM1 juta sebulan selepas menahan seramai 11 warga tempatan.

Premis perniagaan itu beroperasi sebagai pusat panggilan aktiviti pelacuran yang berpusat di Australia.

Dalam operasi itu, polis turut menahan ‘mastermind’ pusat panggilan tersebut iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun dan juga ibunya berusia 65 tahun yang dipercayai menjadi operator di pusat panggilan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya