Yayasan Perak nafi henti bantuan di kawasan pembangkang - Utusan Malaysia

Yayasan Perak nafi henti bantuan di kawasan pembangkang

SAARANI Mohamad (kiri) menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada nelayan darat pada program di Lenggong. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Yayasan Perak menafikan dakwaan kononnya akan menghentikan bantuan kepada rakyat miskin di kawasan yang diwakili oleh Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

Pengurus Pentadbiran Yayasan Perak, Mohamad Hidayat Abd. Halim menjelaskan dakwaan yang disebarkan di laman sosial kononnya Kerajaan Perak akan menghentikan pengagihan kotak-kotak makanan kepada rakyat miskin dan golongan memerlukan di kawasan tersebut mulai bulan depan adalah tidak benar.

“Sebaliknya, kami sebagai agensi bertanggungjawab menyelaraskan program berkenaan, akan terus menyalurkan bantuan itu tanpa mengira kawasan, malah telah membuat langkah penambahbaikan bagi memastikan ia memberi manfaat secara langsung kepada golongan sasar,” katanya di sini hari ini.

Pada masa sama, jelasnya, yayasan itu memandang serius pelbagai aduan yang diterima termasuk perbuatan membuka kotak dan membuat pembungkusan semula (repacking), menampal kotak dengan pelekat tertera logo parti politik, mengubah kuantiti asal bungkusan makanan serta pengagihan tidak mengikuti kuota dan tempoh ditetapkan.

Malah, maklumnya, tindakan membuat pembungkusan semula atau menampal kotak dengan pelekat lain sehingga menutup label jenis-jenis makanan dan tarikh akhir penyaluran kotak makanan dikhuatiri mengakibatkan berulangnya insiden tidak diingini seperti penerima mendapat barang makanan tamat tarikh luput.

Justeru, sebagai mengambil berat isu dan aduan yang diterima, Yayasan Perak telah mengesyorkan supaya kaedah penyaluran bantuan tersebut ditambahbaik.

Jelasnya, ia bagi memastikan bantuan itu benar-benar sampai kepada golongan sasar serta menjamin kuantiti dan kualiti barang makanan yang diagihkan sentiasa dalam keadaan memuaskan.

Sehubungan itu, katanya, mulai bulan depan, pengagihan kotak-kotak makanan tidak lagi disalurkan menerusi mana-mana pusat khidmat ADUN, sebaliknya akan diagihkan terus oleh Yayasan Perak dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh pihaknya.

“Perlu ditegaskan bahawa Yayasan Perak sangat mengambil berat tanggungjawab untuk memastikan setiap kotak makanan yang diagihkan kepada rakyat memerlukan, adalah selamat setelah melalui proses kawalan kualiti (QC) yang ditetapkan.

“Yayasan Perak juga komited untuk mematuhi polisi kerajaan negeri seperti ditetapkanMenteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad supaya penyaluran bantuan kotak makanan kepada golongan memerlukan dilakukan secara adil tanpa mengira kawasan kerajaan atau pembangkang,” ujarnya.

Sehubungan itu, tegasnya, Yayasan Perak akan terus menjalin hubungan baik dengan semua wakil rakyat di negeri ini dan sentiasa terbuka berkongsi maklumat bagi memastikan golongan rakyat susah yang memerlukan bantuan makanan di kawasan masing-masing dapat disantuni sebaiknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya