Wee Ka Siong pertahan jawatan Presiden MCA - Utusan Malaysia

Wee Ka Siong pertahan jawatan Presiden MCA

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Wee Ka Siong mempertahan jawatan Presiden untuk menerajui MCA buat penggal kedua berturut-turut selepas menyandang jawatan itu sejak November 2018.

Beliau meraih majoriti besar dalam Pemilihan Jawatankuasa MCA Pusat 2023 apabila meraih 569 undi menewaskan lawannya, Datuk Tan Chong Seng yang hanya mendapat 11 undi.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon turut mengekalkan jawatan Timbalan Presiden selepas menang tanpa bertanding.

Senator Datuk Seri Ti Lian Ker muncul satu-satunya pemimpin tertinggi MCA yang gagal mempertahan jawatan Naib Presiden selepas hanya memperoleh 136 undi.

Sebaliknya Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng mendapat undian tertinggi iaitu 491 diikuti dua penyandang, Datuk Lim Ban Hong (477 undi) dan Datuk Tan Teik Cheng (469 undi) serta dimenangi oleh Datuk Lawrence Low Ah Keong yang mendapat 470 undi.

Ka Siong menyifatkan kemenangannya sebagai satu mandat untuk terus memimpin parti itu dan menghargai sokongan yang diberikan oleh ahli-ahli parti.

“Amanah ini akan saya galas sebaik-baiknya untuk mengembalikan kegemilangan MCA walau sesukar mana sekalipun cabaran mendatang.

“Saya juga akan berusaha sedaya upaya mengotakan janji saya untuk melaksanakan pembaharuan dalam parti sebagaimana yang terkandung dalam manifesto saya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, beliau dan Hang Soon akan terus bekerja keras dalam usaha memacu parti ke tahap yang lebih tinggi.

“Justeru, saya mengajak kepada semua, termasuk sayap parti untuk merapatkan kembali persahabatan dalam meneruskan perjuangan parti demi kepentingan ahli parti, masyarakat serta negara secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya