KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong bakal menjadi saksi untuk memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu pengurusan pandemik Covid-19, pada 21 September ini.
Prosiding itu berhubung vaksin luput tempoh hayat, peralatan ventilator tidak dapat digunakan dan lebihan peralatan perlindungan diri (PPE) yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keputusan mendapatkan keterangan daripada Ahli Parlimen Ayer Hitam yang juga Presiden MCA itu kerana namanya disebut dalam prosiding PAC sebelum ini.
“Untuk berlaku adil kepada beliau, saya tidak akan mendedahkan atas sebab apa, memandangkan prosiding PAC tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Surat panggilan mesyuarat kepada saksi-saksi ini akan dikeluarkan hari ini dan saya mohon supaya saksi-saksi berkenaan hadir bagi membantu PAC melengkapkan siasatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mesyuarat PAC di Parlimen hari ini.
Terdahulu, PAC mengadakan prosiding ketiga dengan memanggil Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Norazman Ayob; Pengerusi Pharmaniaga, Izaddeen Daud, dan Pengerusi, Exco Pharmaniaga, Ahmad Shahredzuan Mohd Shariff bagi memberi keterangan.
Prosiding pertama PAC berhubung isu itu diadakan pada 15 Jun lalu manakala, prosiding kedua diadakan pada 22 Ogos lalu.
Sementara itu, beliau memaklumkan prosiding baharu ke atas Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) akan dijalankan pada minggu kedua, mesyuarat ketiga, Parlimen ke-15 2023.
“PAC sebulat suara bersetuju memulakan prosiding ke atas HRDF. Tajuk bagi prosiding ini akan ditentukan kemudian,” katanya. – UTUSAN