Tanjong Malim: Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2023/1445 Hijrah yang bertemakan ‘Perpaduan Teras Madani’ disambut meriah di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini.
Majlis yang melibatkan 20 kontinjen ini diadakan bagi memperingati kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW dan sirah baginda sewaktu kanak-kanak sehinggalah nabi diangkat menjadi Rasul yang terakhir.
Ia dirasmikan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff yang antara lain menzahirkan rasa bangga dengan kemampuan kakitangan UPSI membentuk kesepakatan dan perpaduan yang membawa nama UPSI ke mercu kejayaan.
“Saya bersyukur terhadap kesungguhan warga UPSI yang berarak dan bersemangat menyambut Maulidul Rasul dengan mengalunkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW di sekitar Kampus Sultan Abdul Jalil Shah,” katanya.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin dan Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman.
Majlis anjuran Pusat Islam dengan kerjasama Bahagian Komunikasi Korporat itu juga berlangsung meriah di Auditorium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang merupakan sambutan setiap tahun.
Perarakan bermula dari hadapan Bangunan Muzium Pendidikan Nasional ke Pintu Utama dan berakhir di Auditorium Utama. Majlis turut disemarakkan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan Kesakti, Qasidah oleh kumpulan Al-Basya’ir dan pengisian tausiyah oleh Ustaz Muhammad Zaki Zakaria yang berkongsi ilmu berkaitan kelahiran Baginda Nabi SAW .
Kemuncak majlis adalah penyampaian hadiah kepada pemenang yang menyaksikan semua kategori membawa pulang hadiah wang tunai iaitu johan RM1,000, Naib Johan RM800 dan Ketiga RM500.
Kategori Perarakan Terbaik dimenangi oleh Jabatan Pendaftar, Naib Johan dimenangi oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) manakala tempat ketiga disandang oleh Fakulti Sains dan Matematik. – UTUSAN