PETALING JAYA: Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Sepanggar, Sabah mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat tempatan.
Rombongan Kembara Kenali Borneo yang diketuai Seri Paduka tiba ke Pekan Sepanggar pukul 2.10 petang ini dan ‘diserbu’ penduduk tempatan yang tidak mahu melepaskan peluang melihat dan mengambil gambar keberangkatan Seri Paduka.
Dalam video berdurasi 1.31 minit yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Istana Negara, penduduk setempat jelas teruja melihat ketibaan Seri Paduka dan rombongannya ke kawasan mereka.
Mereka juga dilihat teruja apabila Raja Permaisuri Agong menghulurkan tangan untuk bersalam dengan golongan wanita yang berdiri di sepanjang jalan di lokasi tersebut.
Pada hari keempat Kembara Kenali Borneo, Seri Paduka dijadual merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah, sementara Tunku Azizah dijadual melawat Jabatan Penjara sebelum berangkat ke Festival Kraf Borneo 2023 di pusat membeli belah 1Borneo.
Pada sebelah malam, Seri Paduka berdua dijadual menghadiri Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, sebelum mengakhiri hari keempat jelajah berkenaan.
Kembara Kenali Borneo yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 13 September itu, bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak.
Kembara sejauh 2,154 kilometer itu juga akan melalui Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – UTUSAN