GEORGE TOWN: Seorang warga emas berusia 60-an yang juga golongan orang kurang Upaya (OKU) rentung dalam kejadian kebakaran rumah di Jalan Kampung Pisang, Ayer Itam, dekat sini awal pagi tadi.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan rentung di dalam salah sebuah daripada dua unit rumah kampung yang terlibat dalam kebakaran tersebut.
Terdahulu, ujar beiau, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran itu kira-kira pukul 3.44 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran itu membabitkan dua buah rumah kampung dengan anggaran peratusan kemusnahan kebakaran ketika itu adalah 90 peratus.
“Bagaimanapun, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pukul 4.28 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, operasi pemadaman dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong serta BBP Jalan Perak selain dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) terdekat. – UTUSAN