KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tidak bercadang melarang penjualan beras putih tempatan kepada warga asing yang berada di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, warga asing juga memerlukan pengambilan beras sama seperti orang lain di negara ini.
“Tidak dibuat keputusan lagi, sebab warga asing pun perlu makan. Jangan lupa, mereka pun berkhidmat untuk keperluan negara kita,” katanya semasa sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) jika kerajaan akan melarang jualan beras putih tempatan dalam kalangan warga asing yang bekerja di negara ini.
Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh bercadang untuk mengehadkan penjualan beras tempatan kepada wargas asing berikutan kenaikan harga.
Katanya, cadangan itu tidak bersifat diskriminasi, sebaliknya memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia.
Sementara itu, Mohamad berkata, masalah kekurangan bekalan beras tempatan dalam pasaran disebabkan pembelian panik oleh orang ramai apabila harga beras import naik secara mendadak.
“Sebelum ini, beras tempatan tidak dipedulikan sangat termasuk peniaga. Tetapi, apabila beras import naik, mereka mencari beras tempatan. Maka, beras tempatan menjadi permintaan utama yang menyebabkan ia berlaku sedikit kekurangan bekalan di pasaran,” katanya.
Bagaimanapun, beliau yakin masalah bekalan beras yang melanda negara ketika ini akan dapat diatasi dengan baik.
“Isu beras ini berlaku paling hebat pada 2008 dan 2014, kedua-dua masa itu dapat diatasi dengan baik. Kali ini saya yakin dapat diatasi dengan baik,” katanya.
Katanya, Malaysia mempunyai stok bekalan beras sebanyak 900,000 tan iaitu 250,000 tan stok simpanan dan 650,000 tan bagi stok dagangan yang mencukupi bagi menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan.
Katanya, masih belum ada keperluan mendesak yang bersifat kecemasan untuk menggunakan stok simpanan beras kerana stok dagangan sedia ada sebanyak 650,000 tan itu masih mencukupi bagi menampung keperluan domestik.
“Kerajaan kini giat melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi negara supaya mencapai sasaran Kadar Sara Diri (SSR) beras iaitu sebanyak 80 peratus menjelang 2030.
“Antara inisiatif dilakukan adalah pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diperluaskan dengan menyasarkan pelaksanaan program di kawasan seluas 150,000 hektar sawah padi dengan purata pengeluaran hasil sebanyak tujuh tan bagi setiap hektar,” katanya. -UTUSAN