Wanita galas tanggungjawab ketua kampung

Wanita galas tanggungjawab ketua kampung

NAZIHAH Abdul Ghapar menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Kampung Bandar Tua daripada Mohd. Zaki Abdul Rahman di Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak. - UTUSAN/AIN SAFREE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Nazihah Abdul Ghapar mencatat sejarah apabila menjadi wanita tunggal daripada 43 orang yang menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau ketua kampung di Daerah Kecil Kampung Gajah, di sini baru-baru ini.

Nazihah, 41, dilantik sebagai Ketua Kampung Bandar Tua yang berkuat kuasa 1 September lalu.

Katanya, pelantikannya itu adalah sebagai satu penghargaan dan penghormatan kepada golongan wanita apabila diberi kepercayaan menerajui jawatan kuasa pembangunan kampung.

“Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada dan berjanji menjalankan tugas sebaik mungkin serta bekerja keras demi kemajuan kampung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nazihah mengakui sedar cabaran yang bakal ditempuhinya sebagai ketua kampung namun sedia melakukan yang terbaik demi rakyat.

Katanya, dia memberi fokus membangunkan kampung, masalah bencana alam seperti banjir dan membantu masalah penduduk dari segi pelajaran anak-anak.

“Ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah pengupayaan golongan wanita, saya tidak akan patah semangat. Kalau lelaki boleh buat, mengapa wanita tidak boleh. Paling penting adalah semangat membangunkan ekonomi kampung,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah menggesa kerajaan negeri menyegerakan pelantikan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau ketua kampung.

Setiausahanya, Mohd Shazaly Zainal Abidin berkata, ini kerana lantikan itu sudah tertangguh hampir setahun.

Berikutan itu, 43 penerima watikah pelantikan ke jawatan ketua kampung di sini baru-baru ini.

Watikah pelantikan disampaikan Pegawai Daerah Perak Tengah, Mohd. Zaki Abdul Rahman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya