Wanita buat laporan polis anak jadi mangsa penderaan emosi - Utusan Malaysia

Wanita buat laporan polis anak jadi mangsa penderaan emosi

NOR Azlina Mohamad Yasin menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas anak keduanya menjadi mangsa penderaan emosi oleh pihak sebuah sekolah di Marang. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seorang wanita membuat laporan polis mendakwa anak keduanya menjadi mangsa penderaan emosi di sebuah sekolah rendah di sini pada Rabu lalu selepas kes abangnya dihempas guru agama sehingga patah kaki di sekolah yang sama pada tahun lalu.

Nor Azlina Mohamad Yasin, 37, mendakwa, anak keduanya yang berusia lapan tahun mengalami kemurungan selepas dipulaukan guru ekoran kes abangnya yang kini di peringkat sebutan mahkamah.

Lebih malang lagi, menurut Nor Azlina, hubungan mangsa dengan ahli keluarga lain turut terjejas apabila mangsa mula menyalahkan abangnya sebagai punca dia disisihkan di sekolah.

Wanita itu berkata, pelbagai usaha dibuat termasuk aduan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan laporan polis bagi mengelakkan perkara di luar jangkaan daripada berlaku.

“Sejak kes anak sulung saya, adiknya yang belajar di sekolah sama pula dipulau oleh guru daripada menyertai sebarang aktiviti dengan alasan takut patah kaki dan tidak mahu mereka disaman.

“Mangsa dimomokkan dengan ayat itu selama lebih setahun menyebabkan dia menangis, murung dan sering marah-marah kepada abangnya termasuk saya dan suami sehingga kami buntu.

“Saya membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payung dekat sini pada Rabu lalu sebagai langkah berjaga-jaga dan bimbang sebarang perkara buruk daripada berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 12 Oktober tahun lalu, media melaporkan seorang ustaz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang atas tuduhan menyebabkan cedera parah terhadap muridnya sehingga patah tulang kaki kanan.

Ustaz berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah rendah di sini kira-kira pukul 4.15 petang pada 6 Julai 2022.. 

Tambah Nor Azlina, tindakan pihak sekolah terbabit memberi kesan kepada anak keduanya itu yang kini mula menjalani rawatan psikitiri secara berkala di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

“Saya merayu kepada pihak sekolah agar berhenti memulaukan anak saya malah dalam aktiviti silat baru-baru ini contohnya, saya setuju bertanggungjawab jika berlaku kecederaan ke atas anak saya itu.

“Malangnya pihak sekolah memulangkan semula borang kepada anak saya dan menyindir dengan kata-kata provokasi seolah-olah akan disaman jika dia patah kaki dalam aktiviti itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya