KUALA SELANGOR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains, Politik dan Kemasyarakatan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) kali ke-17 hari ini.
Ijazah khas itu disampaikan oleh Canselor Unisel, Tan Sri Arshad Raja Tun Uda di Kampus Bestari Jaya, di sini.
Penganugerahan itu diberikan kepada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang banyak mencetuskan idea, sumbangan dan keprihatinan kepada universiti tersebut.
Dr. Wan Azizah yang berkelulusan Ijazah Perubatan Oftalmologi di Royal College of Surgeons, Dublin, Ireland merupakan anak Melayu pertama dianugerahkan pingat emas MacNoughton-Jones Gold Medal atas kecemerlangan akademik.
Sepanjang menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020, beliau kerap mengunjungi Unisel bagi melihat sendiri perkembangan universiti itu.
Beliau turut merasmikan Persidangan Kebangsaan Wanita dan Pembangunan Keluarga 2018 pada 11 Oktober 2018 di Auditorium Za’ba, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FPSS), Unisel Kampus Bestari Jaya.
Dr. Wan Azizah dalam ucapannya berkata, penganugerahan itu bukan hanya pengiktirafan kepada beliau malah semua pihak yang membantu dan menyokong keluarganya sama ada dalam politik atau kehidupan peribadi.
“Saya berpeluang menabur bakti sebagai seorang doktor merawat pesakit yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Keadaan kemudian menyebabkan saya menceburi bidang politik, yang mana kedua-dua bidang ini memerlukan sokongan dan kepercayaan rakyat untuk berkhidmat,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, sumbangan besar dan ketokohan Dr. Wan Azizah selayaknya menerima pengiktirafan berkenaan.
“Eksekutif dan Senat Unisel memutuskan supaya tokoh ini dicadangkan sebagai penerima Ijazah Kehormat pada Istiadat Konvokesyen kali ini.
“Beliau adalah tokoh wanita berjiwa kental dan pemimpin cekal selain pernah memimpin parti politik besar serta menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen,” ujarnya.
Seramai 1,306 graduan bergraduasi pada istiadat konvokesyen yang berlangsung sehingga esok itu merangkumi 582 orang yang mengikuti pengajian peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda (670), Ijazah Sarjana (36) dan Kedoktoran (18). – UTUSAN