Wakil rakyat MUDA digesa letak jawatan atas nama prinsip perjuangan - Utusan Malaysia

Wakil rakyat MUDA digesa letak jawatan atas nama prinsip perjuangan

ABSYAR NURASYRAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Wakil-wakil rakyat daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) digesa meletakkan jawatan dan mengembalikan sokongan kepada rakyat semula jika parti itu benar-benar berjuang atas dasar prinsip.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf berkata, tindakan itu bagi membuktikan sekiranya benar parti MUDA membawa idealisme serta politik baharu dalam negara.

Menurut Abshar, tindakan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan itu sebenarnya sudah boleh dijangka.

“Sebagai seorang pemimpin muda di peringkat nasional, Syed Saddiq seharusnya bersama-sama membantu dan menggembleng tenaga membantu kerajaan dalam menyumbang idea-idea polisi dan dasar bernas terhadap nasib golongan rentan serta belia dan anak muda.

“Itu lebih penting berbanding hanya berperanan sebagai individu yang mencari salah kerajaan sahaja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, MUDA mengumumkan keputusan keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan menyertai blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Menurut Syed Saddiq, keputusan tersebut diambil selepas perbincangan dibuat bersama pimpinan MUDA yang lain.

Dalam pada itu, tambah Abshar, AMK Pulau Pinang mengingatkan bekas Menteri Kabinet berkenaan supaya jangan ‘hanya pandai berkokok umpama ayam jaguh tapi hakikatnya, ekor bergelumang tahi’.

Tambah beliau, ketika ini, umum mengetahui Syed Saddiq sendiri terlibat dalam perbicaraan atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) di peringkat Mahkamah Tinggi.

“Harus diingatkan juga ketika Pilihan Raya Umum DUN (Dewan Undangan Negeri) di enam buah negeri yang lalu pun, MUDA sendiri telah melanggar konsensus bersama gabungan perpaduan dengan meletakkan calon mereka bagi menentang calon-calon parti gabungan yang telah bersepakat membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Justeru, ingin saya tegaskan di sini jika benar beliau membuat keputusan ini atas dasar prinsip, maka.beliau juga wajib menzahirkan prinsip beliau yang sebenar,” ujar Abshar.

Selain kerusi Parlimen Muar yang disandang oleh Syed Saddiq, satu lagi kerusi yang dimiliki oleh parti itu ketika ini ialah kerusi DUN Puteri Wangsa yang dipegang oleh Amira Aisya Abd. Aziz juga di Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN