SEPANG: Video tular memaparkan seorang lelaki warga Bangladesh yang mendakwa mengaku membeli motosikal daripada seorang anggota polis akhirnya terjawab.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, beliau mengesahkan motosikal itu milik anggotanya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini.
Bagaimanapun, katanya, semakan mendapati pemilik motosikal itu menghantar kenderaan itu untuk dibaiki di sebuah kedai.
“Akibat terlalu lama tidak diambil di kedai itu, warga asing itu kemudian meminta untuk membeli motosikal itu dan pemiliknya bersetuju untuk menjualnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Baru-baru ini tular satu video memaparkan seorang lelaki warga Bangladesh menunggang motosikal tanpa memiliki lesen memandu yang sah, selain kenderaan tersebut juga tidak mempunyai cukai jalan.
Malah, lelaki itu mendakwa motosikal tersebut dibeli daripada seorang anggota polis dengan harga RM1,500.
Video berdurasi 3.8 minit itu dikongsi pemilik akaun, TikTokPOWERSTARKL2021 menerusi pautan video, https://vt.tiktok.com/ZSL3EjLAo/.
Wan Kamarul Azran berkata, lelaki warga asing itu akhirnya berjaya dikesan Sabtu lalu selepas video berkenaan tular.
“Kami telah mengeluarkan saman kepada lelaki itu atas kesalahan menunggang tanpa lesen mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN