BALIK PULAU: Sebuah van persiaran yang membawa sembilan pelancong dari Singapura terbabas ke cerun bukit setinggi kira-kira enam meter dalam kejadian di Jalan Teluk Kumbar, Bukit Genting dekat sini, malam ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan jalan raya itu kira-kira pukul 8.15 malam tadi.
Menurutnya, kerja-kerja menyelamat kini masih dijalankan dengan identiti termasuk jantina serta status kecederaan mangsa belum dapat dipastikan.
Dalam pada itu, difahamkan kejadian itu berlaku di laluan sempit ketika kesemua mangsa dalam perjalanan menikmati makan malam di sebuah restoran makanan Thailand yang terletak di puncak bukit terbabit. – UTUSAN