PUTRAJAYA: Umat Islam seharusnya memanfaatkan teknologi ke arah kebaikan supaya ia tidak membawa kepada perpecahan dalam mendepani cabaran langit terbuka serta ledakan teknologi maklumat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menegaskan, di media sosial hari ini, usahlah diwajahkan agama Islam yang suci ini dengan rupa paras ekstrem, taksub dan melampau kerana ia amat bertentangan dengan sabdaan serta didikan Baginda Rasulullah SAW.
Beliau berkata, apa yang diajarkan Baginda ialah saling menghormati, berlapang dada serta menjaga akhlak ketika berbeza pendapat.
“Begitulah juga kandungan-kandungan di media sosial yang melibatkan berita semasa, isu agama serta hukum hakam.
“Dalam hal ini, Ashabus Samahah para mufti dan jabatan mufti negeri-negeri selaku pihak berautoriti dalam urusan keagamaan dan kefatwaan mempunyai peranan yang amat besar dalam memberikan bimbingan serta jawapan terhadap setiap kemusykilan dan kekeliruan agama termasuk hukum-hakam yang timbul dalam masyarakat.
“Semoga dengan pencerahan tersebut dapat menangani daripada terus berleluasa isu-isu fitnah, adu domba serta apa- apa perkara yang boleh menjurus kepada perpecahan,” katanya dalam sembah ucapan aluan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445H/2023H di sini hari ini.
Justeru, Mohd. Na’im mahu Sambutan Maulidur Rasul yang disambut hari ini, hakikatnya bukanlah sekadar memperingati hari lahir Baginda Rasulullah SAW semata-mata, tetapi ia membawa suatu makna besar kepada umat Islam untuk menghayati serta mengamalkan segala intipati ajaran yang ditinggalkan Baginda.
Katanya, kepimpinan Rasulullah yang bersifat inklusif serta manusiawi, sesuai dengan kemajmukan masyarakat yang berbilang agama dan bangsa.
Beliau berkata, segala rencam nuansa kemajmukan masyarakat yang berbeza agama, bangsa dan budaya seharusnya diurus dengan penuh berhemah dan usahlah direntap keharmonian serta kesepakatan yang dinikmati masyarakat.
“Adalah amat menyedihkan, masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab, umpama api dalam sekam, sengaja menjadikan sentimen agama dan perkauman sebagai senjata untuk meraih sokongan dan kepentingan tertentu.
“Janganlah kita menjadi pemecah-belah yang memporak- peranda, mencetus provokasi dan menyebar fitnah.
“Sebaliknya kita semua perlu membawa watak pendamai yang menyeru kasih sayang serta menyatu kesatuan ummah. Semua pihak perlulah menjadi insan yang bertanggungjawab kepada negara,” katanya. – UTUSAN