Unisel, IPTS tumpuan B40 - Utusan Malaysia

Unisel, IPTS tumpuan B40

Unisel
MOHAMMAD Redzuan Othman menyampaikan cenderahati kepada Anwar Ibrahim, sebuah bingkai gambar ketika beliau melawat Unisel, pada Majlis Makan Malam Yayasan Unisel di, Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Selangor (Unisel) menegaskan kewujudannya tidak berorientasikan keuntungan semata-mata apabila menjadi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menjadi tumpuan masyarakat berpendapatan rendah.

Ini kerana universiti itu mempunyai lebih 60 peratus mahasiswa yang terdiri daripada golongan B40 dan hampir 20 peratus dalam kalangan mereka merupakan kaum India, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.

Presiden dan Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, ketika ini Unisel menerima sumbangan tunggal daripada pembayaran zakat RM250,000 setahun yang disumbang oleh kakitangannya untuk menampung bantuan kewangan kepada mahasiswa meneruskan pengajian.

“Sebagai sebuah universiti yang menekankan kecemerlangan dan bukan meraih keuntungan, Unisel menawarkan yuran pengajian, asrama dan lain-lain secara relatif agak rendah. Ini bagi membolehkan peluang pendidikan lebih luas diberi kepada segenap lapisan masyarakat.

“Pembiayaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya mampu menampung pembayaran yuran memerlukan mahasiswa mendapatkan bantuan kewangan bagi meneruskan kelangsungan pengajian di Unisel,” katanya ketika berucap di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Makan Malam Yayasan Unisel, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Unisel dalam usaha mengembangkan pemikiran Allahyarham Profesor Datuk Dr. Siddiq Fadzil bukan sahaja dalam kalangan warganya, tetapi diluaskan kepada orang awam khususnya di negeri ini.

“Jika sebelum ini, pemikiran tersohor itu hanya tertumpu dalam dewan kuliah, satu program yang dipanggil ‘Malaysa Madani, Unisel Depani’ bakal diadakan pada 21 dan 22 Oktober ini di Tanjong Sepat dan empat lagi daerah pada tahun hadapan.

“Dengan membawa pemikiran itu ke tengah-tengah masyarakat melalui wacana dan pelbagai program lain yang melibatkan mahasiswa dan masyarakat, penduduk di palangan dapat didedahkan dengan pelbagai pemikiran relevan Siddiq Fadzil yang boleh mencorakkan pemikiran mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN