ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) akan terus berusaha keras bagi memastikan program dan kursus yang ditawarkan adalah menarik, terkini serta memberi manfaat besar kepada masyarakat.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ia sekali gus memastikan program-program di universiti berkenaan kekal relevan dalam pasaran pekerjaan.
“Ini juga akan menarik lebih banyak lepasan sekolah untuk melanjutkan pelajaran di Unimap,” titah baginda merangkap Canselor Unimap ketika berkenan berangkat menyaksikan Majlis Sanjungan Budi Sempena Serah Tugas Pengerusi Lembaga Pengarah Unimap di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam Unimap Pauh Putra hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor disambut oleh Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli.
Majlis tersebut diadakan sempena penghargaan atas segala sumbangan dan usaha bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Unimap, Raja Datuk Azwane Raja Ariff sepanjang tempoh empat tahun dilantik menjadi Pengerusi LPU Unimap bermula 5 Ogos 2019 hingga 4 Ogos 2023.
Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada beliau yang telah menunjukkan usaha dan kesunggahan dalam membantu menjenamakan nama Unimap dan meningkatkan pengaruh universiti ini di mata pemegang taruh.
Pada kesempatan sama, Tuanku Syed Faizuddin turut mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas kepada Tan Sri Sufri Mohd Zin iaitu Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis yang baharu dilantik pada 16 Ogos 2023 untuk tempoh tiga tahun.
Baginda percaya lantikan Sufri bakal membantu meningkatkan keterlihatan Unimap.
Pengalaman Sufri dan ahli Lembaga Pengarah yang lain diharap mampu membantu Unimap dalam penasihatan strategi dan kerjasama baharu dalam dan luar negara.-UTUSAN