Undi PN seperti tamatkan Malaysia negara majmuk dan progresif 

Undi PN seperti tamatkan Malaysia negara majmuk dan progresif 

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini digesa untuk menyatakan rasa tidak senang mereka terhadap Perikatan Nasional (PN) dengan hadir sepenuhnya di hari mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, esok.

Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk R. Ramanan berkata, meskipun Pakatan Harapan (PH) tidak sempurna dan mempunyai kelemahan, namun gabungan itu komited untuk mengangkat Malaysia yang progresif.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, undi PN adalah undi untuk menamatkan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dan progresif.

“Adalah melucukan apabila PN merayu kepada pengundi di kawasan berkenaan supaya tidak takut kepada gabungan itu khususnya Pas.

“Pemimpin PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika berkempen di dua kawasan ini mendakwa bahawa PN mewakili semua kaum dan agama di Malaysia.

“Tetapi, saya tidak fikir rakyat Malaysia akan percaya beliau atau PN kerana kempennya terus mengutuk kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramanan mengambil contoh keadaan di negeri ditadbir Pas menyaksikan salun rambut uniseks diharamkan dan orang awam didenda hanya kerana memakai seluar pendek.

“Mereka terpaksa beratur di kaunter tiket pengasingan jantina di Terengganu yang dikuasai Pas. Di Kelantan, pawagam diharamkan sama sekali. Beginikah Malaysia yang Mohamed Azmin mahu bela?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam menyokong PN telah merujuk bahawa orang bukan Melayu sebagai pendatang dan membuat pelbagai tuduhan berunsur perkauman.

“Saya tidak melihat mana-mana pemimpin PN termasuk Mohamed Azmin memisahkan diri mereka daripada Dr. Mahathir. Dengan berdiam diri, bermakna PN bersetuju dengan naratif Dr. Mahathir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya