UMW Grantt mahu jadi pilihan pertama pengguna minyak pelincir

UMW Grantt mahu jadi pilihan pertama pengguna minyak pelincir

Anas Nasrun Mohd. Osman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: UMW Grantt International Sdn. Bhd. (UMW Grantt) mempertaruh minyak pelincir kenderaan ciptaan mereka sendiri untuk menjadi pilihan pertama pengguna dan bersaing dengan jenama-jenama terkemuka dalam pasaran.

Sedar dengan cabaran yang bakal ditempuh untuk bersaing dengan nama-nama besar, Pengarah Kumpulan Bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan UMW, Anas Nasrun Mohd. Osman yakin dengan minyak pelincir Grantt yang dihasilkan oleh UMW Grantt, anak syarikat Kumpulan UMW.

Katanya, minyak pelincir Grantt mempunyai kualiti yang setaraf dengan jenama-jenama antarabangsa, ditawarkan dengan harga kompetitif dan menepati keperluan serta kehendak rakyat Malaysia.

“Apabila kita menghasilkan minyak pelincir Grantt ini, kita dengar kemahuan rakyat Malaysia. Kita tahu keadaan jalan raya, suhu dan iklim di Malaysia. Kami juga tahu rakyat Malaysia mahukan satu produk yang mampu milik.

“Jadi kami menilai semua perkara ini dan menawarkan minyak pelincir Grantt yang berkualiti yang tinggi tetapi masih mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui di Dorsett Grand Subang, di sini.

UMW Grantt mengadakan malam penghargaan kepada pengedar-pengedar minyak pelincir Grantt bagi menyatakan tanda terima kasih kerana kekal setia dan sentiasa menyokong perkembangan jenama Grantt.

Pada majlis tersebut, UMW Grantt turut memberi anugerah kepada 10 pengedar tertinggi yang telah berjaya menukar penjualan mereka kepada minyak pelincir Grantt.

Minyak pelincir Grantt yang dilancarkan pada 2015, sesuai digunakan dalam semua jenis kenderaan dan dijual dalam beberapa kategori iaitu sintetik penuh, separuh sintetik dan juga mineral.

Mengulas lanjut, Anas Nasrun berkata, minyak pelincir Grantt terus berkembang dan kukuh di pasaran tempatan dengan mengeluarkan beberapa produk lain seperti hidraulik bagi memenuhi permintaan di Malaysia.

“Kadangkala ada yang melihat UMW Grantt lebih cenderung kepada sektor perindustrian tetapi sebenarnya tidak. Kita ada mengeluarkan minyak pelincir untuk kereta, motor dan kenderaan berenjin diesel, cecair transmisi automatik (ATF), minyak gear, minyak gris, cecair penyejuk dan pelbagai lagi produk-produk lain.

“Minyak pelincir Grantt telah mendapat pengiktirafan dari syarikat pensijilan antarabangsa seperti American Petroleum Institute (API) dan juga dari pengeluar-pengeluar kenderaan terkemuka (OEM) seperti Volvo dan Cummins.

“Ini bermakna minyak pelincir Grantt telah mencapai piawaian yang terbaik” jelasnya lagi.

Tambahnya, UMW Grantt turut bersedia mengeluarkan minyak pelincir yang akan digunakan di dalam kenderaan-kenderaan elektrik (EV).

“Kita sudah bersedia untuk beradaptasi walaupun Malaysia akan mengambil masa untuk menghadapi perubahan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar UMW Grantt, Iskandar Mohamed Salleh berkata, kesedaran terhadap minyak pelincir Grantt semakin meningkat.

“Sebelum ini, kami berkolaborasi dengan Hafizh Syahrin Abdullah. Dari situ kita nampak sokongan terhadap minyak pelincir Grantt datang dari kumpulan-kumpulan peminat pelumba negara itu. Sekarang ini, kami melakukan kerjasama dengan pelbagai pihak agar minyak pelincir Grantt diketahui ramai.

“Dari segi penjualan, minyak pelincir Grantt telah meningkat naik dari tahun ke tahun.

“UMW Grant bukan hanya berada di Malaysia tetapi juga di negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Vietnam, Singapura, Myanmar, Brunei dan Kemboja. Sekarang ini kita tengah cuba memasuki pasaran di Indonesia dan Filipina.” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap minyak pelincir Grantt akan diterima baik kerana ia adalah produk tempatan, dibuat oleh rakyat Malaysia dan untuk rakyat Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya