PONTIAN: UMNO akan memastikan tradisi persilatan Melayu akan terus dipertahan dan diperkasa bagi diwarisi oleh generasi akan datang sekali gus tidak hilang ditelan zaman.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dalam perlembagaan UMNO itu sendiri turut memperjuangkan kebudayaan Melayu sebagai teras bagi membentuk jati diri bangsa.
Katanya, tradisi persilatan Melayu yang berakar umbi merupakan lambang kepada pembentukan bangsa yang menjurus kepada pembentukan sahsiah yang baik.
Menurut beliau, usaha harus terus dilakukan oleh pelbagai pihak bagi memastikan penglibatan semua supaya budaya Melayu termasuk dunia persilatan terus subur sepanjang masa.
“UMNO mengalu-alukan sebarang aktiviti atau program berkaitan budaya Melayu supaya terus dipelajari dan dihayati oleh generasi akan datang bermula di peringkat sekolah seterusnya ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Silat Johor di Dataran Dato’ Jalok, Benut, di sini, hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah, bagi penganjuran Festival Silat Johor, pihaknya telah memberikan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi menjayakan program dua hari itu.
“Diharap langkah ini dapat dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO di Johor selepas ini supaya Festival Silat Johor dapat diadakan pada masa depan di lain-lain lokasi bagi menyemarakan dunia persilatan Melayu,” ujarnya.
Katanya, kalau melihat kepada bendera UMNO juga mempunyai hubung kait dengan keris yang merupakan senjata utama digunakan oleh para pendekar ketika berjuang menentang penjajah.
“Jika orang Melayu tidak mempertahankan budayanya sendiri, siapa yang akan mempertahankannya dari luput ditelan zaman?” soal Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.
Dalam pada itu, Ahmad turut mengumumkan program 1Silat 1Mukim di Parlimen Pontian dengan pembinaan gelanggang dan menaik taraf berjumlah RM10,000 di lima buah mukim mulai tahun ini,
Tambanya, sebahagiannya sudah ada, tetapi ada yang memerlukan pembaikan semula supaya penggiat silat dapat melahirkan lebih ramai pesilat baru terutama dalam kalangan generasi muda dan sebagainya. – UTUSAN