PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini seharusnya beralih sepenuhnya kepada sistem kewangan dan ekonomi Islam termasuk dalam soal memilih perbankan dan takaful Islam.
Itu saranan dibuat penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 1445H/2023, Prof. Datuk Dr. Syed Othman Syed Husin Al-Habshi ketika ditemui selepas sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Syed Othman berkata, Malaysia mempunyai banyak rangkaian institusi perbankan dan kewangan Islam, malah ia turut dikenali dan termasyhur di dunia.
Justeru, sudah tiba masanya umat Islam beralih kepada kewangan Islam dan sistem takaful Islam.
“Kita harus fikir bagaimana untuk memasyarakatkan kewangan Islam kepada umat Islam di negara ini.
“Apabila kita tidak dapat melakukannya, kita tidak dapat melaksanakan seluruhnya sistem berasaskan Islam di negara ini,” katanya.
Mengulas mengenai penganugerahan itu, Syed Othman berkata, beliau sendiri tidak terfikir untuk menerima anugerah itu dan menyifatkan ia satu amanah besar.
“Anugerah ini adalah pembakar semangat kepada saya untuk terus memberi khidmat kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, beliau turut berpesan bahawa akhlak terpuji sepatutnya bermula dengan diri sendiri dahulu sebelum mempengaruhi ahli keluarga sendiri.
“Keluarga kita itu kemudian akan mempengaruhi keluarga lain dan seterusnya menyebarkannya kepada komuniti dan masyarakat.
“Itu yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan baginda adalah contoh terbaik akhlak terpuji dan sifat itu perlu dimiliki oleh setiap umat Islam,” katanya.
Syed Othman mempunyai pengalaman luas selama 40 tahun sebagai guru dan pensyarah di beberapa universiti terkemuka tanah air selain mengganggotai ahli lembaga pengarah beberapa buah perbankan Islam dan syarikat takaful. – UTUSAN