Umat Islam dinasihat hati-hati pilih makanan, minuman - Utusan Malaysia

Umat Islam dinasihat hati-hati pilih makanan, minuman

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Umat Islam dinasihatkan berhati-hati dalam hal-ehwal berkaitan makanan dan minuman serta perlu cakna tentang apa yang boleh dimakan dan diminum berdasarkan hukum yang ditetapkan oleh syarak.

Sehubungan itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, setiap individu Muslim tidak wajar menjamah makanan atau minuman di mana-mana restoran atau premis yang tidak mempunyai sijil halal yang dikeluarkan pihak berkuasa agama di negara ini terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

”Allah SWT melarang seorang Muslim meminum segala minuman yang memabukkan. Hukumnya sama dengan arak yang diharamkan menerusi nas-nas al-Quran dan hadis.

“Pihak berwajib hendaklah memberi penerangan tentang hukum haram ini meliputi setiap bahan yang memabukkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai video dimuat naik pengguna di TikTok yang menunjukkan tindakan seorang peniaga menggunakan bahan dikhuatiri tidak halal di dalam masakannya menimbulkan kebimbangan pengguna muslim.

Malah, pengguna di TikTok turut membuat ulasan mengenai makanan nasi ayam ‘claypot’ yang dijual peniaga tersebut di sebuah restoran yang didakwa menggunakan ‘rice wine’.

Menurut Jakim dalam kenyataan di Facebook, pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis berkenaan sepanjang operasinya.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, mana-mana umat Islam yang memakan atau meminum bahan yang nemabukkan akan dikenakan hukuman mengikut peruntukan sedia ada di dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam Negeri.

”Saya cadangkan mana-mana premis yang menyajikan arak dan apa jua bahan memabukkan hendaklah memaparkan notis yang menyatakan orang Islam tidak dibenarkan memasuki premis tersebut.

”Perlu diketahui jenis tuak yang haram tidak termasuk tuak yang menjadi minuman tradisional dalam kalangan masyarakat Islam di Kelantan dan Terengganu.

”Minuman berkenaan dipanggil ‘nira’ di negeri-negeri Barat Semenanjung, manakala tuak yang sering diminum oleh masyarakat Dayak di Sarawak adalah haram diminum oleh penganut agama Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya